Khazanah Nasional Berhad, dalam tahun penuh pertama di bawah mandat baharunya, telah berjaya memulihkan prestasi keseluruhan untuk tahun 2019 dengan mencatatkan keuntungan operasi tertinggi dalam sejarah.
Catatan ini disumbangkan oleh hasil pelupusan tinggi, rosot nilai yang lebih rendah dan pulangan portfolio yang lebih kukuh.
Khazanah telah mencatatkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun 2018. Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala rosot nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya. Khazanah mengumumkan dividen sebanyak RM1.0 bilion untuk tahun 2019.
Seterusnya, angka jumlah hutang telah berjaya dikurangkan sebanyak 17.0% kepada RM45.8 bilion daripada RM55.2 bilion pada tahun 2018, manakala lindungan Nilai Aset Boleh Tunai pula meningkat kepada 3.0 kali daripada 2.4 kali.
Menurut Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah – Tahun ini merupakan tahun yang sangat sukar. Di mana, selain perang ekonomi antara AS-China, global diduga dengan penularan wabak Covid-19 pula. Tidak terhenti disitu, kini Malaysia mula mengalami ketidaktentuan politik.
Meskipun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan, pihaknya tetap bersiap sedia untuk menghadapi suatu tempoh kelembapan dalam ekonomi global.
Penstrukturan semula tol PLUS dan penyelesaian isu-isu Malaysia Airlines (MAB)
Bagi tol PLUS, memperlihatkan Khazanah dan KWSP kekal sebagai pemegang saham PLUS. Pihaknya juga telah berjaya melakukan pengurangan tol sebanyak 18%. Manakala bagi isu MAB pula, tahun 2020 Khazanah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan dan MAB untuk mengkaji semula cadangan tersebut dan memuktamadkan keputusan mengenai pilihan strategik yang paling sesuai untuk terus maju ke hadapan.