Artikel

Stimulus 2020: Peruntukan RM3 Bilion Untuk Pelaksanaan Inisiatif NFCP

Berikutan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 oleh Perdana Menteri Interim, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 27 Februari 2020, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengumumkan pelaksanaan enam (6) projek di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

NFCP bertujuan untuk mengurangkan jurang digital melalui peluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

Keenam-enam projek NFCP ini akan menambah baik kesalinghubungan digital di seluruh negara, selain memastikan kesinambungan pelaburan awam kepada industri melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS). 

Kos keseluruhan bagi kesemua enam (6) projek ini adalah dianggarkan sebanyak RM3 bilion dan akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang PPS di bawah kawalselia dan tadbir urus MCMC. 

Kesemua enam (6) projek NFCP merangkumi penyediaan perkhidmatan selular awam dan jalur lebar talian tetap di seluruh negara dan mampu melonjakkan tahap sosio-ekonomi Rakyat. 

NFCP akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri-industri berkaitan di samping mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu.

Untuk makluman lanjut, boleh layari www.nfcp.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif lain.