Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, hari ini mengumumkan pencapaian rekod dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM11 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, meningkat daripada RM10.9 bilion pada tahun sebelumnya.
Keputusan ini didorong oleh prestasi kukuh segmen Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Perbankan Islam dan Insuran & Takaful, serta suku keempat (S4TK19) yang menyaksikan Kumpulan mencatat PBT tertinggi sebanyak RM3.26 bilion, iaitu 5.4% peningkatan daripada tahun sebelumnya.
Keputusan ini juga disokong oleh peningkatan pendapatan operasi bersih sebanyak 4.6% kepada RM24.7 bilion.
Keuntungan bersih bagi tahun ini juga mencecah paras baharu tertinggi sebanyak RM8.2 bilion, daripada RM8.11 bilion pada 2018, didorong oleh keuntungan bersih S4TK19 yang meningkat 5.3% kepada RM2.45 bilion daripada tahun sebelumnya.
Apabila dibandingkan dengan suku sebelumnya iaitu Julai-September 2019 (S3TK19), kedua-dua PBT dan keuntungan bersih untuk S4TK19 juga telah meningkat secara ketara, masing-masing sebanyak 23.2% dan 22.5%.
Menurut Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin berkata meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar pada tahun 2019, prestasi mantap Kumpulan Maybank telah mencerminkan kekuatan dan daya tahan operasi mereka dalam mengekalkan catatan perolehan pada paras yang ditetapkan.
Lembaga Pengarah turut telah mencadangkan dividen tunai tunggal peringkat akhir sebanyak 39 sen sesaham. Bersama dengan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, dividen keseluruhan tahun adalah 64 sen sesaham.
Ini menjadikan nisbah pembayaran dividen tahunan sebanyak 87.8%, berjumlah RM7.19 bilion.