Artikel

Public Bank Catat PBT RM7.13 Bilion, Dividen Interim Kedua 40 Sen

Public Bank mengumumkan bahawa tahun kewangan 2019 mencatatkan pertumbuhan 1.9% dalam pendapatan operasinya kepada RM22.45 bilion. Ini menghasilkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM7.13 bilion, berbanding dengan RM7.10 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

Keuntungan bersih milik pemegang saham dicatatkan pada RM5.51 bilion. Berdasarkan suku tahunan, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih milik pemegang saham masing-masing meningkat sebanyak 3.4% dan 3.2% berbanding dengan suku tahun ketiga tahun yang sama.

Tahun 2019 merupakan tahun yang dipenuhi dengan pelbagai halangan dan cabaran. Pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman pada bulan Mei 2019 memberi lebih banyak tekanan ke atas margin faedah bersih yang menjejaskan keuntungan sektor perbankan domestik bagi tahun tersebut.

Bagaimanapun, Public Bank masih dapat mengekalkan keuntungan yang stabil pada tahun 2019 melalui pertumbuhan melebihi industri dalam perniagaan pembiayaan dan pengambilan deposit, pertumbuhan yang baik sebanyak 8.4% dalam pendapatan bukan faedah dan aset kualiti yang kukuh.

Menerusi prestasi yang baik, Public Bank turut mengisytiharkan dividen interim kedua yang lebih tinggi sebanyak 40 sen sesaham. Berserta dividen interim pertama sebanyak 33 sen sesaham, dividen setahun penuh untuk tahun 2019 berjumlah sehingga 73 sen berbanding dengan 69 sen yang dibayar pada tahun 2018. 

Ini diterjemahkan kepada jumlah pembayaran sebanyak RM2.83 bilion yang merupakan pembayaran sebanyak 51.4% daripada keuntungan bersih Kumpulan bagi tahun 2019. Dividen interim kedua itu akan dibayar pada 20 Mac 2020 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 12 Mac 2020.