Artikel

Merchantrade Money Miliki Kelulusan Untuk Tambah Had Dompet Digital

Merchantrade Asia Sdn. Bhd. kini telah memperolehi kelulusan dari pihak pengawal selia untuk menambah saiz dompet digital Merchantrade Money kepada RM20,000.

Sebelum ini, saiz dompet digital Merchantrade sekadar dihadkan pada RM10,000 sahaja. Menerusi pembaharuan had dompet digital ini, ia dijangka akan berkuatkuasa sebelum akhir suku kedua 2020.

Menurut Ramasamy K Veeran, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade – penambahan ini adalah satu langkah besar dalam usaha Merchantrade Money ke arah peralihan digitalisasi daripada tunai kepada nirtunai.

Saiz dompet digital baru ini akan membolehkan pengguna menyimpan lebih banyak mata wang yang sudah ditukar dan ia memudahkan urusan pembelian dan pembayaran yang lebih besar untuk barang dan perkhidmatan. Ini termasuk pembayaran untuk perjalanan dan perbelanjaan penginapan melalui kad Merchantrade Money mereka dan ia memberikan pengalaman nirtunai dan kemudahan pembayaran yang lebih baik.

Ramasamy berkata industri pertukaran wang di Malaysia bernilai kira-kira RM80 bilion dan saiz dompet digital baru itu akan membantu Merchantrade meningkatkan jumlah pelanggan baru.

Pelanggan Merchantrade Money kini mempunyai akses kepada 20 mata wang asing untuk menukar secara langsung termasuk Dolar AS, Dolar Singapura, Pound British, Dolar Australia, Rupiah Indonesia, Euro, Thai Baht, Yen, Riyal Saudi, China Renminbi, Dolar Hong Kong, Won Korea Selatan dan Rupee India, dalam dompet digital mereka.