Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Bursa Malaysia akan menubuhkan anak syarikat milik penuh untuk mengambil alih fungsi pengawalseliaan yang ketika ini diuruskan Bursa Malaysia – Bursa RegSub.
SC dan Bursa Malaysia telah bekerjasama rapat untuk terus mempertingkat struktur tadbir urus bursa dengan mengasingkan fungsi pengawalseliaannya daripada objektif komersil untuk menangani kewujudan persepsi konflik kepentingan berpotensi antara kedua-dua peranan tersebut.
Bursa RegSub akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah, dimana sebahagian besar ahlinya, tiada kaitan dengan Bursa Malaysia, dan Pengerusi Bursa RegSub akan dilantik dari kalangan ahli Lembaga Pengarah Bebas.
Menerusi hal ini, Bursa Malaysia tetap bertanggungjawab kepada SC untuk memastikan bahawa Bursa RegSub diperuntukkan sumber kewangan dan sumber manusia yang mencukupi untuk membolehkannya melaksanakan fungsi kawal selia dengan berkesan.
Menurut Datuk syed Zaid Albar, Pengerusi SC mengatakan pihaknya akan terus mengawal selia Bursa Malaysia secara langsung sebagai syarikat tersenarai serta pengendali pasaran, sambil mengekalkan pengawasan fungsi pengawalseliaan yang dilakukan oleh Bursa RegSub.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen berkata, “Pasaran modal Malaysia diiktiraf secara global sebagai berpandangan jauh, dikawal selia baik dan berkedudukan tinggi dalam perlindungan pelabur. Bursa akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha kami untuk membina pasaran yang rancak dan berdaya saing.”
Penubuhan Bursa RegSub akan meletakkan rangka kerja pengawalseliaan pasaran saham Malaysia selaras dengan bidang kuasa seperti Singapura, Jepun dan Brazil.
SC dan Bursa Malaysia akan mengkaji semula dan memuktamadkan butiran pelaksanaan dalam memastikan peralihan fungsi pengawalseliaan lancar kepada anak syarikat, yang dijangka beroperasi menjelang akhir tahun 2020.