Artikel

Pasaran Kewangan Kekal Cekap Meski Berdepan Cabaran

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pasaran Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) – Jumlah transaksi pertukaran asing (foreign exchange, FX) kekal kukuh pada USD14.6 bilion, disokong oleh aliran dua hala.

Manakala volatiliti tersirat 1 bulan USD/MYR kekal dalam julat lazim, iaitu sekitar 4.0 – 4.5%. USD/MYR dibuka lebih tinggi dan diniagakan dengan teratur sepanjang hari. 

Ini sejajar dengan jangkaan am pasaran dan prestasi mata wang serantau dalam keadaan penularan wabak Covid-19 pada peringkat global. Jumlah FX antara bank USD/MYR telah meningkat dua kali daripada purata minggu lalu, berikutan pelaburan yang bertambah baik.

Menerusi pasaran pendapatan tetap ringgit, pelarasan kadar hasil bagi tanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia adalah teratur. Paras kadar hasil 5 tahun dan 10 tahun kembali pulih daripada pergerakan menaik pada peringkat awalnya. 

Pasaran bon sekunder secara keseluruhannya mencatatkan jumlah dagangan harian yang kukuh sebanyak RM5.9 bilion berbanding dengan purata harian sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 2019. 

Pasaran FX ringgit dan pasaran bon beroperasi secara teratur dan ini mencerminkan kematangan pasaran kewangan Malaysia. Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (Financial Market Association of Malaysia, FMAM) dan institusi yang menjadi ahlinya komited untuk memastikan operasi pasaran adalah cekap dan berdaya tahan.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan akan terus memantau perkembangan pasaran kewangan bagi memastikan semua keperluan perniagaan dan transaksi dipenuhi.