Artikel

KWSP Isytihar Dividen 2019 – Konvensional 5.45%, Shariah 5.00%

Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional. Manakala, kadar dividen untuk Simpanan Shariah 2019 pula mencatatkan 5.00%, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion. 

KWSP dilihat mencatatkan prestasi kukuh untuk 2019 yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan. 

Dengan ini, KWSP telah memberikan 2.95% melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5% setiap tahun. Untuk Simpanan Shariah pula, berdasarkan Akta KWSP 1991, KWSP perlu membayar dividen untuk Simpanan Shariah pada sebarang kadar, bergantung kepada prestasi pelaburan.

Mengulas mengenai perbezaan antara kadar dividen Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional, Ketua Pegawai Eksekutif Alizakri Alias berkata, “Perbezaan antara kedua-dua simpanan adalah kerana pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan Simpanan Konvensional. Majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.”

“Seperti yang dijangkakan, kita telah menyaksikan turun naik yang ketara pada tahun 2019 berbanding 2018. Tahun 2019 mencerminkan realiti hidup dunia VUCA. Pelbagai isu di pasaran global yang masih belum selesai dan terdapat pula beberapa isu baru yang timbul. Terdapat tiga kali potongan kadar faedah telah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit. Kami juga tidak menjangkakan bahawa rusuhan di Hong Kong akan berlarutan dan terus menambahkan tekanan ke atas pasaran timur jauh.”

“Tambahan lagi, pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70% aset KWSP adalah dalam Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.’

Seterusnya, KWSP turut menjangkakan tahun 2020 akan menjadi lebih mencabar daripada 2019, dengan kesan wabak virus COVID-19 yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global. Perang dagangan AS-China masih lagi tidak menunjukkan tanda ia akan berakhir, antara risiko terhadap pemulihan ekonomi yang lain. Pihaknya berharap pasaran domestik akan berdaya tahan, terutamanya berikutan pakej ransangan kerajaan yang bakal diumumkan yang akan membantu menyokong sentimen pelabur dan pengguna.

Alizakri juga memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP maklum dengan tekanan yang sedang meningkat dalam dekad baharu.