Artikel

MITI: Tun Mahathir Lancar Dasar Automotif Nasional 2020

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (21 Feb) telah melancarkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Sebelum ini NAP telah diperkenalkan pada Mac 2006 bertujuan untuk membantu usaha transformasi dan integrasi industri automotif tempatan ke dalam jaringan industri serantau dan global.

Pelancaran NAP 2020 ini memperlihatkan gabungan tiga elemen baharu dalam teknologi iaitu – Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Kenderaan Sebagai Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

NAP 2020 memiliki tempoh masa sepuluh tahun iaitu bermula tahun 2020 hingga 2030.

Menerusi NAP 2020, ia mensasarkan peningkatan kepada langkah-langkah baharu dalam pembangunan dasar, pembaharuan polisi dan keperluan serta sasaran bagi perindustrian automotif.

Selain itu, pembabitan penyelidikan dan penyertaan syarikat tempatan dalam penyediaan bekalan tenaga mahir untuk kejuruteraan juga akan dipertingkatkan.

Inisiatif ini untuk menaikkan semula catatan eksport dan insentif pelaburan.

Malah, NAP 2020 juga menyasarkan tumpuan kepada operasi pengeluaran. Fokus ini cara tidak langsung meningkatkan produktiviti negara. 

Dengan adanya penerapan polisi ini, landskap industri automotif negara mampu mempertingkatkan lagi kualiti serta perkembangan pengeluaran ke peringkat yang lebih tinggi.