Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mendakwa bahawa kes pesawat MH370 itu sengaja dihempaskan oleh juruterbang. Lebih menarik, Tony percaya pegawai tertinggi Malaysia telah mensyaki perihal ini sejak dari awal siasatan kes tersebut.
MH370 milik Malaysia Airlines dilaporkan telah hilang pada 8 Mac 2014. Kapal terbang tersebut membawa muatan seramai 239 orang – hampir keseluruhan penumpangnya adalah warga China – dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Menurut laporan tiada tanda pesawat tersebut dijumpai di zon carian Lautan Hindi yang seluas 120,000 kilometer persegi (46,000 mil persegi) dan pencarian yang diketuai oleh Australia merupakan misi terbesar dalam sejarah penerbangan.
Walau bagaimanapun, misi tersebut telah digantung pada Januari 2017.
Sebuah firma penerokaan AS pula melancarkan misi pencarian swasta pada 2018 tetapi ia berakhir selepas beberapa bulan menjelajahi dasar laut tersebut tanpa sebarang klu dijumpai.
Berikutan itu, telah timbul pelbagai spekulasi dan teori berkenaan kes ini. Termasuklah melihat kembali kedudukan Zaharie Ahmad Shah, selaku kapten penerbangan MH370.
Melalui kenyataan dokumentari Sky News yang disiarkan Rabu lalu, Abbott mendakwa dia diberitahu dalam masa seminggu bahawa Malaysia percaya kapten penerbangan tersebut sengaja menjatuhkan pesawat terbabit.
“Saya tidak akan mengatakan siapa yang mengatakan dan kepada siapa tetapi biarkan saya mengulangi, saya mahu menjelaskan bahawa peringkat tertinggi Malaysia ini mensyaki kehilangan pesawat itu mempunyai unsur jenayah bunuh diri oleh juruterbang,”
Keluarga dan sahabat Zaharie telah lama menolak tuntutan tersebut sebagai dakwaan yang tidak berasas.
Pada tahun 2016, para pegawai Malaysia mendedahkan Zaharie telah merancang laluan di Lautan Hindi dalam simulator penerbangannya namun dakwaan tersebut tidak membuktikan dia sengaja menghempaskan pesawat itu.
Laporan akhir ke dalam tragedi yang dikeluarkan pada tahun 2018 menunjukkan kegagalan oleh kawalan lalu lintas udara dan berkata perjalanan pesawat itu telah diubah secara manual.
Pihak berkuasa gagal menghasilkan kesimpulan yang kukuh, sekali gus meninggalkan kesan yang mendalam kepada ahli keluarga mangsa. –AFP