Artikel

Koronavirus: MWC 2020 Dibatalkan

Pihak penganjur Mobile World Congress pada Rabu (12 Feb) telah memutuskan untuk membatalkan pameran perdagangan mudah alih dunia disebabkan ketakutan yang berpunca daripada koronavirus yang mencetuskan pelbagai risiko tinggi.

Untuk makluman, acara ini sepatutnya berlangsung pada 24 hingga 27 Februari 2020 ini.

Menurut kenyataan rasmi – GSMA telah membatalkan MWC Barcelona 2020 kerana kebimbangan global mengenai wabak koronavirus. Kebimbangan ini menjadikan acara tersebut tidak mungkin dapat diadakan.

Keputusan ini turut dibuat dengan mengambil kira persekitaran yang selamat dan sihat di Barcelona, negara tuan rumah, beserta pendapat pihak lain untuk  memahami situasi ini.

Sebelum keputusan ini dipersetujui, beberapa jenama besar telah mula membatalkan penyertaan mereka. Antaranya, Vodafone, Nokia, Deutsche Telekom, BT Britain, Rakuten, Intel, Facebook, Cisco dan Vivo China. 

Menurut sumber acara tersebut, pihak penganjur mengalami kerugian pembatalan sekitar 100 juta euro (AS$ 110 juta). Disebabkan situasi ini adalah darurat kesihatan global, membolehkan pihak penganjur menerima insurans bagi menampung kos.

Setakat ini, Sepanyol hanya mencatatkan dua kes jangkitan koronavirus. 

Persidangan teknologi ini kebiasaannya mampu menarik lebih daripada 100,000 orang, termasuk antara 5,000 dan 6,000 peserta dari China, kata penganjur .

Keputusan ini dilihat menjadi tamparan besar bagi Barcelona, ​​kerana pameran perdagangan besar itu dijangka membawa keuntungan hampir 500 juta euro.

Turut terjejas adalah tempat penginapan dan perkhidmatan seru pandu di sekitar acara persidangan tersebut.   

“Sepanjang empat hari kongres itu, hotel ini sepatutnya diduduki dengan kadar tertinggi pada tahun ini. Tidak ada minggu lain seperti itu,” kata Ignacio Arias, Pengurus Hotel AC Som Marriott.