Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi keseluruhan tahun 2019 ekonomi negara berkembang sebanyak 4.3% berbanding tahun 2018 yang mencatat 4.7%.
Ekonomi Malaysia telah dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi pada suku keempat 2019.
Penggunaan swasta meningkat dengan kukuh sebanyak 8.1% berbanding S3 2019 yang mencatatkan 7.0% manakala pelaburan swasta pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 4.2% berbanding S3 2019 yang mencatatkan 0.3%.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan telah menerima kesan daripada gangguan bekalan dalam sektor komoditi. Berikutan itu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6% pada suku keempat 2019.
Manakala bagi purata inflasi keseluruhan adalah lebih rendah, mencerminkan terutamanya luputnya kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST). Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan perubahan dasar cukai penggunaan, stabil pada kadar 1.4%.
Kadar Pertukaran Ringgit
Seterusnya perkembangan kadar pertukaran Ringgit dicatat sebanyak 2.3% berbanding dolar Amerika. Nilai tambah ini disokong oleh sentimen pelabur yang bertambah baik berikutan perkembangan yang positif dalam rundingan perdagangan global.
Prestasi ringgit pada tahun 2020 akan terus dipengaruhi oleh perkembangan di luar negeri. Meskipun perjanjian perdagangan Fasa Satu antara AS dengan Republik Rakyat China (RR China) telah menyumbang kepada prospek perdagangan global yang bertambah baik, namun sentimen pelabur juga terjejas oleh kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus baru-baru ini.
Berikutan itu, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.3% berbanding dengan dolar AS pada tahun ini sehingga 10 Februari dalam keadaan sentimen pasaran kewangan global yang bertambah lemah.
Perkembangan Pembiayaan Bersih
Pembiayaan bersih berkembang sebanyak 4.7% pada asas tahunan disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang berterusan. Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul bertambah baik manakala pinjaman isi rumah terkumpul meningkat pada kadar yang stabil.
Jangkaan Ekonomi Malaysia 2020
Bagi keseluruhan tahun 2020, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaksanaan projek pelaburan swasta yang diluluskan dengan perbelanjaan modal sektor awam yang lebih tinggi.
Namun, terdapat risiko yang akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara. Antaranya seperti penularan koronavirus, risiko geopolitik, kelemahan sektor komoditi dan kelewatan pelaksanaan projek.