Artikel

Hartalega Catat Untung Selepas Cukai S3 RM121.6 Juta

Hartalega Holdings Berhad telah mencatatkan untung selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM121.6 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2019, peningkatan sebanyak 17% berbanding RM104.2 juta pada suku kedua yang sebelumnya. 

Sementara itu, untung sebelum cukai pula berjumlah RM159.6 juta, juga lebih tinggi dengan peningkatan sebanyak 16% berbanding RM137.3 juta pada suku tahun sebelumnya, manakala hasil bertambah sebanyak 12% kepada RM796.5 juta, berbanding RM709.4 juta yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2019, Kumpulan mencatatkan untung selepas cukai sebanyak RM320.1 juta. Untung sebelum cukai pula mencecah RM418.6 juta manakala hasil meningkat kepada RM2.14 bilion untuk tempoh yang sama. 

Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku tahun yang dilaporkan ialah 3.60 sen manakala untuk tempoh sembilan bulan, EPS adalah sebanyak 9.49 sen. Nilai aset bersih sesaham ialah RM0.73 pada 31 Disember 2019. 

Berasaskan prestasi Kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.8 sen sesaham seperingkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020, menurut tarikh kelayakan pada 6 Mac 2020 dan perlu dibayar pada 27 Mac 2020. 

Kuan Mun Leong, Pengarah Urusan Hartalega Holdings Berhad mengatakan angka catatan positif ini didorong dengan pemintaan tinggi pada sarung tangan nitril yang diterajui Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) menjadikan kadar jualan semakin meningkat.

Pertumbuhan permintaan dijangka berterusan, terutamanya dalam jangka pendek memandangkan penularan wabak koronavirus yang melanda China. Sebagai peserta industri yang bertanggungjawab dan pengeluar sarung tangan nitril yang terbesar di dunia, pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan penuh.

Seterusnya, sejumlah 2.58 juta keping sarung tangan telah diperuntukkan untuk menyokong usaha ini. Penghantaran sarung tangan pertama mengandungi sejuta keping sarung tangan kini sedang dalam perjalanan ke China, manakala penghantaran tambahan 1.58 juta keping sarung tangan akan dibuat lewat bulan ini sebagai sumbangan menerusi anak syarikat mereka, Mun China.