Touch ‘n Go memperkenalkan penyelesaian berasaskan teknologi kepada rakyat Malaysia dengan penjualan Tag TNG RFID.
Bermula 15 Februari 2020, Tag TNG RFID akan dipasarkan pada harga RM35 di semua pusat pemasangan seluruh negara.
Bayaran ini meliputi penggantian kali pertama pada kenderaan yang sama (tiada tempoh tamat).
Inisiatif ini disusuli program perintis awam yang telah berjaya merangkumi 22 lebuh raya dalam tempoh 18 bulan.
Bersempena pelancaran ini, Touch ‘n Go juga mengumumkan promosi untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengguna Tag TNG RFID.
Promosi yang akan berlangsung dari 15 Februari sehingga 15 April 2020 ini akan memberi peluang kepada 40 pemenang bertuah untuk memenangi ‘Ultimate RFID Toll Pass’ yang bernilai RM2,500 setiap satu di Touch ‘n Go eWallet.
Touch ‘n Go bertujuan untuk memperjuangkan agenda mobiliti Malaysia menerusi teknologi yang mampu memenuhi keperluan komuniti bandar pintar.
Touch ‘n Go RFID merupakan komponen penting dalam menjayakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), yang akan menempatkan Malaysia setaraf dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan, dan China.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin berkata, “Kami telah berjaya mengeluarkan 1 juta Tag TNG RFID melalui program perintis awam yang berlangsung selama 18 bulan. Program ini telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman mobiliti masa depan. Kami akan terus memperluaskan penggunaan teknologi RFID dengan bekerja sama dengan rakan kongsi kami untuk melintasi seluruh ekosistem mobiliti di Malaysia. Ini termasuk penggunaan teknologi RFID buat pengisian petrol, parkir, dan jualan runcit pandu-lalu.”
Setakat ini, terdapat 70.5 juta kenderaan di seluruh dunia yang menggunakan teknologi RFID.
Kadar jualan tag RFID dijangka akan meningkat secara kompaun tahunan sebanyak 7 peratus antara 2017 – 2022.
Kadar pertumbuhan ini didorong oleh pengguna terutamanya di Asia Pasifik.
TNG RFID membolehkan pengesanan dan analisis masa nyata yang mampu meningkatkan keberkesanan lalu lintas, keselamatan jalan raya, dan penggunaan infrastruktur.
“Kami ingin rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada komuniti global RFID.
Teknologi RFID akan menjadi daya penggerak penting untuk memudahkan akses penggunaan harian, meningkatkan penguatkuasaan lalu lintas dan keupayaan pengurusan, mempertingkatkan pengalaman parkir, dan menyokong kerajaan dengan menawarkan perkhidmatan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat Malaysia, ” tambah Syahrunizam.
Pelancaran RFID di Malaysia adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkenalkan lorong aliran bebas (MLFF) bagi meningkatkan prestasi lebuh raya di Malaysia.
TNG RFID adalah sistem pembayaran elektronik yang menggunakan tag untuk melalui tol. Tag TNG RFID mempunyai cip frekuensi radio unik dan dilekatkan pada cermin depan atau lampu depan kenderaan.
Apabila kenderaan melalui lorong tol RFID, pengimbasan secara automatik akan menolak baki daripada akaun Touch ‘n Go eWallet pengguna.
TNG RFID menawarkan pengalaman mobiliti terhebat tanpa peranti atau bateri tambahan, serta membolehkan tambah nilai atas talian melalui Touch ‘n Go eWallet.
Selaras dengan usaha untuk memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan yang didorong oleh teknologi, Touch ‘n Go juga menggalakkan pengguna untuk memautkan kad kepada Touch’ n Go eWallet bagi mengelakkan status tidak aktif (dorman). Selain daripada itu, proses e-pembayaran balik yang lebih cepat juga ditawarkan kepada pengguna yang telah melengkapi proses e-KYC mereka di Touch ‘n Go eWallet.
Proses pembayaran balik bagi jumlah kurang daripada RM10 akan diselesaikan dalam masa 24 jam.
Manakala, bagi jumlah melebihi RM10, ia akan mengambil masa 7-14 hari waktu bekerja untuk diselesaikan.