Artikel

Kenyataan Penuh Tony Fernandes Dan Kamarudin Meranun Susulan Mereka Letak Jawatan

Berikut kenyataan penuh Tony Fernandes dan Din Meranun:

“Kami merujuk kepada Perjanjian Pendakwaan Ditunda yang dikemukakan oleh Airbus SE dan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) pada 31 Januari 2020. 

Sebagai maklum balas bagi penggantungan pendakwaan oleh SFO, Airbus telah bersetuju untuk membayar denda dan kos yang dikenakan kepada SFO dan juga bersetuju dengan kenyataan fakta yang melibatkan para eksekutif AirAsia. 

Siasatan oleh SFO yang dilaporkan mengambil masa empat tahun tidak pernah dimaklumkan kepada kami (atau AirAsia, seperti yang dinyatakan dalam siaran akhbar mereka pada 1 Februari 2020) untuk sebarang kenyataan atau penjelasan. Ini jelas melanggar prinsip asas dan akses kepada keadilan. 

Ini jelas melanggar prinsip asas dan akses kepada keadilan. Kami secara mutlak menafikan semua dakwaan salah laku daripada pihak kami sebagai eksekutif dan pengarah AirAsia. 

Caterham F1, syarikat yang dikatakan telah ditaja secara tidak telus oleh Airbus adalah sebuah pasukan Perlumbaan Formula 1 yang telah mengelilingi dunia dan dalam masa yang sama mempromosikan pelbagai syarikat seperti AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus. Sepanjang tempoh tersebut, kami adalah pemegang saham Caterham, sebuah syarikat yang tiada keuntungan dan akhirnya dilupuskan dengan 1 Pound Sterling pada tahun 2014. 

Dari awal penubuhan hingga akhir, ianya merupakan sebuah inisiatif penjenamaan dan bukan usaha untuk mengaut keuntungan. Justeru, bagi membantu siasatan penuh dan bebas oleh AirAsia, kami melepaskan jawatan eksekutif kami dengan serta-merta untuk tempoh dua bulan atau jangka masa tertentu mengikut penilaian Ahli Lembaga AirAsia berdasarkan keadaan semasa. 

Namun, atas permintaan Ahli Lembaga AirAsia, kami telah bersetuju untuk terus membantu AirAsia sebagai penasihat apabila diperlukan.

Akhir sekali, kami mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa kerana itulah satu-satunya cara kami untuk menegakkan dan mengakses keadilan yang dinafikan kepada kami melalui proses SFO hingga kini. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka”.