Artikel

Proton Catat Prestasi Kukuh Bagi Permulaan Tahun 2020

Proton membuka tirai tahun ini dengan jualan yang kukuh, meneruskan prestasi cemerlang yang dicatatkan pada 2019. Syarikat merekodkan sebanyak 8,506 pendaftaran baharu, iaitu kenaikan sebanyak 20.2% berbanding tempoh sama tahun lepas. 

 

Jumlah ini juga menunjukkan pencapaian terbaik bagi bulan Januari dalam tempoh selama empat tahun. Pegangan pasaran turut memperlihatkan pertumbuhan di mana kedudukan syarikat kini meningkat sebanyak 4.9% kepada 19.5%, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Meskipun tempoh operasi bulan Januari adalah singkat disebabkan sambutan tahun baharu cina, syarikat tetap catat jualan seperti yang dijangkakan dan terus berada di kedudukan kedua. 

Menurut Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton – ini adalah satu permulaan yang baik bagi tahun 2020, selepas mencatat prestasi cemerlang pada tahun 2019. Kebiasaannya, Januari adalah bulan yang mencabar namun, mereka masih berjaya mengekalkan prestasi terbaik berbanding tempoh empat tahun.

Proton X70 turut kekal sebagai pemimpin segmen apabila mencatat pendaftaran baharu sebanyak 1,367 unit. Saga terus menjadi tulang belakang Syarikat dengan mencatat hampir separuh daripada jumlah jualan bulanan iaitu sebanyak 3,871 unit. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 72% berbanding tempoh sama tahun lepas. 

Proton juga percaya menerusi penekanan mereka pada bahagian teknologi, keselamatan dan kualiti telah menjadi pemacu peningkatan jualan syarikat.

Pihak mereka juga akan terus mengekalkan prestasi ini dan terus mempertingkatkan tahap kepuasan bagi kualiti dan perkhidmatan.