Artikel

Suruhanjaya Sekuriti Teliti Semula Dakwaan Yang Dikenakan Terhadap AirAsia

Kenyataan berhubung kes Regina dan Airbus SE mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

Menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan meneliti semula dakwaan tersebut dan menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran undang-undang sekuriti.

Syed Zaid berkata di bawah Seksyen 317A Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA), pengarah syarikat tersenarai awam (PLC) yang melakukan apa-apa dengan niat menyebabkan kerugian salah pada PLC atau perbadanan berkaitannya boleh dihukum penjara dan denda.

Menerusi siasatan Serious Fraud Office (SFO) UK –  Airbus dilaporkan telah membayar dan menawarkan berjuta-juta dolar untuk menaja pasukan sukan yang dikaitkan dengan dua eksekutif yang tidak disebutkan nama iaitu di AirAsia dan AirAsia X.

Individu ini dikatakan bertanggungjawab untuk membuat keputusan.

Menurut laporan media, AirAsia telah membeli 180 pesawat dari Airbus, dengan para eksekutif diberikan ganjaran berhubung pembelian pesawat tersebut.

Namun, AirAsia menafikan tuduhan tersebut bahawa terdapatnya pelanggaran undang-undang sekuriti.

AirAsia telah mengatakan bahawa setiap perjanjian pembelian pesawat tidak dibuat oleh sebarang keputusan individu, tetapi sebaliknya melalui “penilaian yang teliti, perbincangan dan keputusan kolektif ahli lembaga pengarah selepas mengambil kira spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan ekonomi operasi”.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan bahawa ia telah memulakan siasatan terhadap tuduhan itu.

Bagi tindakan lanjut, pihak SPRM akan berhubung dengan pihak berkuasa UK.