Artikel

Dana IVF Rusia Bantu Atasi Kemerosotan Bilangan Penduduk

oleh Romain COLAS // Diterjemahkan oleh Rnggt

Kini, pasangan penduduk Rusia yang sukar memiliki anak tidak perlu lagi khuatir. Kerajaan Rusia telah menyediakan perkhidmatan In Vitro Fertilization (IVF) secara percuma kepada rakyat mereka, bagi menyokong peningkatan kadar kelahiran untuk negara itu. 

Antara pasangan menerima khidmat perubatan tersebut adalah Vleriya Pashko. Penantiannya selama 3 tahun bakal membuahkan hasil buat beliau dan pasangan..

Pashko kini sedang menjalani rawatan kesuburan di Pusat Perinatal di Kota Balashikha.

Objektif utama Presiden Vladimir Putin adalah untuk meningkatkan kadar kelahiran negara. Faktor ini menjadi keutamaan buat negara.

“Nasib Rusia dan prospek bersejarahnya bergantung kepada jumlah rakyat yang ada,” katanya. 

Rusia menyaksikan penduduknya jatuh ke 142.9 juta pada tahun 2010 selepas pepecahan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, ketika ia mencapai 148.3 juta. Ia kini kembali kepada 146 juta, tetapi dijangka jatuh semula.

Di klinik swasta, harga kitaran perkhidmatan IVF ini bermula pada sekitar 100,000 rubel ($ 1,600), ia tidak termasuk kos sperma dan telur penderma. Ini lebih daripada tiga kali gaji bulanan buat golongan pertengahan.

Inisiatif Ini Beri Kemudahan 

Tetapi sejak tahun 2013, prosedur IVF, sebahagian besarnya dibiayai oleh negara di bawah skim insurans kesihatan wajib.

IVF merupakan rawatan kesuburan yang paling berkesan dengan kadar kejayaan sekitar 30 peratus.

Menurut Doktor Olga Serova – klinik Balashikha menunjukkan bilangan (prosedur IVF) meningkat hampir tiga kali ganda. Warganegara Rusia perlu berterima kasih kepada pembiayaan negara.

Dasar sokongan IVF ini dilihat sebagai sebahagian daripada projek kerajaan untuk demografi negara.

Penurunan Penduduk Baharu

Ketika ini rakyat Rusia mencatatkan jumlah penduduk adalah sebanyak 146 juta. Angka ini dijangka jatuh 4 hingga 12 juta orang pada 2035 kelak. 

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lalu, jumlah penduduk jatuh hampir 260,000 orang, angka kejatuhan ini adalah paling terjejas sepanjang 11 tahun yang lalu.

Putin telah melancarkan beberapa dasar yang bertujuan menggalakkan orang ramai mendapat bayi sejak tahun 2000 lagi.

Bulan ini, dia menyeru kadar kelahiran sehingga 1.7 kanak-kanak per wanita menjelang 2024, dari angka 1.5 semasa.

Rawatan kesuburan adalah sebahagian daripada strategi ini.

“IVF tidak akan menjadi faktor utama untuk meningkatkan angka penduduk tetapi ia adalah sebahagian daripada inisiatif kami dalam perancangan kehamilan yang lebih baik,” kata Yelena Fyodorova, Pakar Sakit Puan di Pusat Balashikha.

“Dan apa yang dilakukannya semata-mata adalah untuk memberi peluang kepada pasangan untuk mempunyai anak,” katanya lagi.

Menurut Kementerian Kesihatan di seluruh negara, bilangan prosedur IVF yang dibiayai negeri setahun meningkat daripada 46,000 kepada 78,000 antara 2016 dan 2018.

Matlamat Rusia adalah untuk mencapai 90,000 setahun pada tahun 2024, yang akan menjadikan Rusia sebagai pemimpin di lapangan, menurut angka Persatuan Pembiakan Manusia Rusia.

Perundangan Liberal

Prosedur ini membawa kepada 25,000 hingga 30,000 kelahiran setahun, sehingga hampir dua peratus daripada jumlah kelahiran.

Rusia mempunyai undang-undang yang sangat liberal mengenai hak-hak pembiakan. Tiada had umur pembiakan dibantu dan ia terbuka kepada wanita tunggal dan pasangan yang masih belum berkahwin.

Malah Gereja Ortodoks Rusia yang kebiasaannya bersifat konservatif telah mula menerima baik inisiatif ini. 

“Rusia masih mempunyai kadar pengguguran tertinggi di Eropah. Itu masalah utama bagi Gereja,” kata Roman Lunkin , ahli hubungan gereja.

Jumlah tahunan pengguguran menurun dari 1.5 juta kepada 567,000 antara 2010 dan 2018, menurut Kementerian Kesihatan. 

Meskipun angka tersebut menunjukkan penurunan, namun bilangan pengguguran masih banyak lagi dijumpai berbanding dengan kadar kelahiran tahunan sebanyak 1.6 juta bayi.