Kadar tol PLUS akan dikurangkan sebanyak 18% berkuatkuasa 1 Februari 2020, bermula 12 tengah malam ini.
Ini seperti yang diumumkan kerajaan pada 17 Januari 2020 sebelum ini.
Diskaun kadar tol sebanyak 18% tersebut diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.
Kadar Komersial Kekal
Kadar tol untuk kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat tempoh konsesi.
Konsesi Dilanjutkan Hingga Tahun 2058
Pengurangan kadar tol ini dikenakan seiring dengan lanjutan kadar konsesi PLUS sehingga tahun 2058.
Sementara itu, kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga akan disamakan dengan kadar tol baharu Jambatan Pertama Pulau Pinang selepas diskaun 18% bermula 1 Februari 2020. Perkara ini telah diumumkan sebelum ini dalam Belanjawan 2020.
Menurut kerajaan, sebanyak RM42 bilion penjimatan dapat dicapai sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.