Artikel

Apple, Broadcom Diarah Bayar RM4.5 Bilion Kerana Mencuri Idea Paten

Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan Apple dan Broadcom untuk membayar denda sebanyak RM4.5bilion (US$1.1bilion) ke sebuah universiti di California kerana melanggar undang-undang berkenaan dengan penggunaan paten.

Paten yang dimaksudkan adalah berkenaan dengan isu teknologi wifi.

Apple diarah membayar sejumlah $837 juta manakala Broadcom diarah membayar $270 juta kepada Institut Teknologi California (Caltech).

Denda ini merupakan denda terbesar dalam isu pelanggaran penggunaan paten di dunia.

Caltech telah saman kedua-dua syarikat ini pada 2016, dan mendakwa produk Apple seperti iPhone, iPad, dan Apple Watch menggunakan komponen Broadcom yang melanggar paten Caltech berkenaan dengan teknologi transmisi data nirwayar.

Kedua-dua Apple dan Broadcom dijangka akan memfailkan rayuan terhadap kes ini.