Artikel

Dato’ Rosman Mohamed Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Rosman Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat berkuat kuasa 1 Februari 2020.

Menerusi pelantikan beliau sebagai CEO Bank Rakyat yang baharu, Dato’ Rosman akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang telah disandang sejak April 2019.

Sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Bank Rakyat, Dato’ Rosman ialah Pengarah Urusan, Pusat Kecemerlangan Syarikat Abdul Latif Jameel (ALJ), Arab Saudi, pengedar Toyota swasta terbesar di dunia selama tujuh tahun.

YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pelantikan ini dibuat selepas Dato’ Rosman menunjukkan prestasi yang amat baik dalam tempoh pemangkuan jawatan berkenaan.

Penglibatan beliau tidak lagi asing dalam bidang perbankan. Dato’ Rosman pernah berkhidmat di Bank Rakyat sebagai Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dari 1 Oktober 2012 sehingga 31 Disember 2013. Begitu juga di Maybank sebagai pegawai kredit dan Ketua Latihan dan Pembangunan Kerjaya dari 1987 sehingga 1993.