Beberapa persatuan kesihatan yang beroperasi di Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bersama dalam menangani wabak coronavirus. Berikut kenyataan mereka:
Pihak profesional kesihatan di Malaysia telah menggesa rakyat Malaysia untuk bertindak secara tenang dan rasional dalam usaha mengekang penularan wabak 2019 nCoV yang berlaku sekarang.
Untuk tempoh ini, pihak kesihatan menggesa rakyat Malaysia, ahli politik, rakan-rakan media dan semua pemimpin untuk bertindak dengan penuh bertanggungjawab.
Pihak kesihatan memahami kekhuatiran rakyat tentang risiko yang dialami. Namun, langkah terbaik buat masa ini adalah untuk kekal bertenang, mendapatkan maklumat sahih dari sumber yang rasmi dan sentiasa mengamalkan langkah berjaga-berjaga yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.
Keupayaan Malaysia untuk mengatasi wabak penyakit adalah terbukti dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Daripada rekod, Malaysia menduduki tangga ke-18 dalam Global Health Security Index oleh Johns Hopkins Centre for Health Security, mengatasi Singapura dan Korea Selatan. British Medical Journal mendapati bahawa Malaysia adalah negara Most Prepared in Health Security. Perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di seluruh dunia.
Ini jelas terbukti apabila para profesional kesihatan di Malaysia berjaya mengatasi ancaman wabak sebelum ini, seperti virus Nipah pada tahun 1998, SARS (2003), H1N1 (2009) dan MERS (2014).
Namun penularan berita palsu berkenaan isu virus ini telah mengakibatkan panik dalam kalangan rakyat. Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong telah pun menitahkan rakyat supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau kontroversi.
Langkah baru akan diambil berikutan perkembangan situasi semasa. Sekatan perjalanan sementara terhadap warganegara China tertentu telah pun dikuatkuasakan. Walau bagaimanapun, ini hanyalah satu langkah untuk mengatasi situasi ini.
Pakar kesihatan turut menyeru supaya rakyat untuk menggunakan media sosial secara berhemah. Penyebaran berita atau khabar angin yang palsu adalah salah di sisi undang-undang, dan menggugat keberkesanan Kementerian Kesihatan dalam memerangi wabak virus ini.
Dr Khor Swee Kheng
Tan Sri Dr Jemilah Mahmood
Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman (Dekan Perubatan, Universiti Malaya)
Prof Dr Raja Affendi Raja Ali (Dekan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia)
Dato’ Dr Zainal Ariffin Bin Omar (Presiden, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
Dr Jeffrey Abu Hassan (Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM))
Dr Abdul Halim Shibghatullah (Yang Dipertua, IKRAM Health Malaysia)
Prof Dr Rosmawati Mohamed (Master, Akademi Perubatan Malaysia)
Mr Amrahi Buang (Presiden, Persatuan Farmasi Malaysia)
Dr N Ganabaskaran (Presiden Persatuan Perubatan Malaysia)
Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris (Presiden, Medical Mythbusters Malaysia)
A/Prof Dr Mohammad Husni Jamal (President, Akademi Perubatan Keluarga Malaysia)
Pn Sharipah Asiah Syed Junid Aljunid (Presiden, Persatuan Juruwarat Malaysia)
Haji Mustafa Abd Majid (Presiden, Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia)