Artikel

Polis, SKMM, beri amaran jangan tular berita palsu coronavirus

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran jangan tularkan berita palsu tentang virus Wuhan.

PDRM dan SKMM nyatakan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan Novel coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

Mereka mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam, seterusnya menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

Pemantauan oleh PDRM dan SKMM mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai Novel coronavirus (2019-nCoV).

Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

PDRM dan SKMM telah mengenalpasti empat (4) individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan Novel coronavirus (2019-nCoV).

Orang awam digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai Novel coronavirus (2019-nCoV) sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutamanya maklumat yang dikeluarkan oleh pihak selain daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sila rujuk kepada sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/) bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai Novel coronavirus (2019- nCoV).