Akhbar tertua negara – Utusan – yang terpaksa menggulungkan tikarnya akhir tahun lalu akibat tekanan kewangan, dikatakan akan kembali beroperasi semula dalam beberapa bulan lagi.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia telah membuat satu perkongsian di laman Facebook mereka mengatakan bahawa pemilik akhbar Utusan, Media Mulia Sdn Bhd sedang mencari pekerja seperti pengarang, wartawan, penulis dan jurufoto untuk Utusan.
Media Mulia adalah sebuah syarikat yang terkait dengan jutawan terkenal negara – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary – yang juga memiliki sebuah lagi syarikat, Aurora Mulia.
Aurora Mulia Sdn Bhd sudah menghabiskan hampir RM300 juta untuk membeli lebih kurang 32 peratus saham Media Prima Bhd, syarikat yang mengoperasikan jenama dan saluran seperti TV3, NTV7, Berita Harian, dan lain-lain lagi.
Laporan media menyatakan bahawa NUJ mengesahkan bahawa Utusan mungkin akan kembali beroperasi seawal bulan Mei tahun ini, namun tiada arahan yang dikeluarkan mana-mana pihak untuk memanggil semula bekas pekerja akhbar itu untuk pulang ke pejabat.