Artikel

Tenaga Nasional Berhad Dikompaun 36 Kali Oleh Suruhanjaya Tenaga Pada Bulan Disember 2019

Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengeluarkan 36 kompaun berjumlah RM3.6 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada bulan Disember 2019.

Tindakan itu diambil setelah ST menyiasat aduan bil elektrik tinggi pada bulan Mei dan Jun tahun 2019 yang diterima dari pihak pengguna. 

Hasil siasatan mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi arahan ST berhubung piawaian prestasi Minimum Service Level (MSL) berkaitan tempoh penyerahan bil-bil elektrik kepada pihak pengguna. 

Berdasarkan MSL tersebut, TNB perlu memastikan setiap pengguna menerima bil elektrik secara bulanan.

Pada masa yang sama, ST ingin mengingatkan pemegang-pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447], peraturan-peraturan dan syarat-syarat lesen bagi memastikan kepentingan pengguna dilindungi. 

Sementara itu, ST akan terus memantau dan menyiasat aduan-aduan yang diterima dari pengguna. 

Pengguna juga boleh membuat aduan melalui sistem eAduan di laman sesawang ST (www.st.gov.my) atau menerusi talian 03-8870 8800.