Artikel

MESTECC: 150 Kontena Sampah Plastik Selamat Dipulangkan Ke Negara Asal

Sebanyak 150 buah kontena sisa plastik, dengan anggaran 3,737 metrik tan, telah dipulangkan ke negara-negara asal mereka.

Perkara ini diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Menurut kementerian itu, kebanyakkan sisa ini berasal dari negara-negara maju seperti Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol dan Jepun.

Operasi penghantaran sisa ini dikendalikan secara bersama MESTECC melalui operasi bersepadu yang diterajui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) di tiga (3) pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang dan Sarawak.

Tiada Kos Tambahan

Tindakan penghantaran balik kontena ini tidak melibatkan sebarang implikasi kos kewangan kepada Kerajaan di mana kosnya ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan.

Tindakan penguatkuasaan diambil ke atas kontena sisa plastik yang telah diimport ke Malaysia secara haram serta tidak memenuhi kriteria pengimportan sisa plastik dan obligasi di bawah Basel Convention on Transboundary Movements of Hazardous Wastes and Their Disposal (Konvensyen Basel).

Usaha ini akan diteruskan oleh MESTECC bagi membanteras perdagangan sisa plastik secara haram dan seterusnya mengelakkan Malaysia daripada menjadi tempat lambakan sisa plastik.

Bagi tujuan itu, satu Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) akan dilancarkan untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan oleh agensi-agensi berkaitan seperti JAS, JKDM, JPSPN, SWCorp, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan agensi lain yang terlibat.

“Kerajaan Malaysia memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke nagara ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia,” kata YB Yeo Bee Yin, Menteri MESTECC. 

“MESTECC akan terus memerangi pencemaran rentas sempadan termasuk sisa plastik demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara,” ujar beliau lagi.

YB Yeo turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi bersepadu penghantaran semula kontena sisa plastik di seluruh negara.