Artikel

RAM Ratings: Terbitan Bon 2019 Adalah Terbesar Sejak 2017

Terbitan bersih bon korporat Malaysia bagi tahun 2019 adalah RM132.8 bilion (2018: RM105.4 bilion, 2017: RM124.9 bilion).

Ini merupakan sebuah rekod bagi terbitan bon dalam negara ini sehingga kini.

Pusat penarafan bon negara – RAM Ratings – berkata antara sebab angka ini boleh tercapai adalah kerana terbitan bon Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sebanyak RM27.6 bilion.

Bon/Sukuk UJSB adalah satu ‘bailout’ yang dilaksanakan kerajaan untuk menyelamatkan Tabung Haji (TH), kerana liabiliti TH melebihi aset TH sejak tahun 2016.

Disebabkan ini, TH telah melanggar undang-undang yang tertera dalam Akta Tabung Haji 1995 apabila TH terus membayar hibah (dividen) kepada pendeposit mereka walaupun aset kurang dari liabilitinya. 

‘Bailout’ UJSB melalui terbitan bon sebanyak RM27.6 bilion ini ‘memulihkan’ penyata kira-kira TH. Kini aset TH sudahpun melebihi liabilitinya, membolehkan TH membayar hibah kepada pendeposit, tanpa melanggar apa-apa undang-undang.

“Jika tidak mengira terbitan bon UJSB, terbitan bon bagi sektor swasta adalah RM75.5 bilion bagi tahun 2019, iaitu lebih tinggi dari purata lima tahun iaitu RM64.4 bilion,” kata Kristina Fong, Ketua Penyelidikan RAM.

“Bagi sektor awam, terbitan bon MGS/GII adalah RM115.7, iaitu berada dalam julat perangkaan kami iaitu antara RM110 dan RM120 bilion,” tambah beliau lagi.

Menurut RAM Ratings, penyertaan pelabur asing untuk pasaran bon di Malaysia meningkat bagi tahun 2019.

Tambahan wang asing ke dalam pasaran pendapatan tetap ini adalah RM19.9 bilion bagi tahun 2019. Ini merupakan penambahan wang asing tertinggi sejak 2012.

Antara sebab mengapa pelabur asing menyertai pasaran bon tempatan negara adalah corak pentadbiran Amerika Syarikat (AS), terutamanya Bank Pusat AS (Fed), yang mengeruhkan pasaran untuk beri keuntungan tinggi berbanding tahun-tahun lalu.

Dalam memberi gambaran untuk masa mendatang, RAM Ratings berkata terbitan bon korporat bagi tahun 2020 adalah diantara RM100 dan RM110 bilion.

Terbitan bon MGS/GII untuk tahun 2020 dianggarkan diantara RM115 dan RM125 bilion.