Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa kos pembinaan MRT 2 kini dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion.
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd hari ini menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
MOF mendakwa bahawa perjanjian ini memuktamadkan proses rasionalisasi mengurangkan kos pembinaan MRT 2 sebanyak RM8.82 bilion, daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.
Penjimatan kos berjumlah RM8.82 bilion ini berjaya dicapai dengan membina kapasiti MRT 2 secara progresif untuk memenuhi permintaan semasa, dengan peruntukan penambahbaikan berdasarkan kepada tahap penggunaan pada masa hadapan.
Pendekatan pembinaan progresif ini bagi mengelakkan projek dibina secara besar- besaran dan mengakibatkan beban hutang melambung tinggi tanpa mengambil kira keperluan dalam masa terdekat. Pendekatan ini tidak akan menjejaskan kualiti, keselamatan dan kecekapan operasi sistem MRT.
Antara penyumbang utama kepada penjimatan kos adalah:
- Perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana projek kepada model turnkey yang menghasilkan penjimatan yuran Rakan Pelaksana Projek
- Rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan wang provisional
- Penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat, seperti penundaan pembukaan stesen-stesen bawah tanah di Bandar Malaysia, serta penyederhanaan kemasan seni bina stesen
- Rasionalisasi skop kerja untuk kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrik.
Walaupun terdapat perubahan dalam struktur projek, pihak Kerajaan telah memastikan supaya sasaran asal penyertaan Bumiputera sebanyak 45% daripada nilai kontrak RM30.53 bilion, iaitu RM13.7 bilion, dikekalkan.