Artikel

PNB Umum Barisan Kepimpinan Baharu

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan barisan kepimpinan baharu dan persaraan Timbalan Presiden, Pelaburan Strategik serta pelantikan Ketua Perbendaharaan Kumpulan.

Setelah berkhidmat selama lebih 36 tahun bersama PNB, Datin Paduka Kartini Haji Abdul Manaf telah bersara daripada jawatannya, Timbalan Presiden, Pelaburan Strategik berkuat kuasa 1 Januari 2020. 

Sepanjang tempoh perkhidmatan di PNB, beliau telah memegang pelbagai jawatan dan terlibat dalam bidang-bidang berkaitan pengurusan pelaburan dan kewangan korporat, penggabungan dan pengambilalihan, penstrukturan korporat, pelaburan hartanah serta pembangunan perniagaan. Sebelum ini, Datin Paduka Kartini merupakan Ketua Pegawai Strategi, dan telah menerajui pejabat Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan. 

Menerusi persaraan beliau, bahagian Pelaburan Strategik dan bahagian Pasaran Persendirian yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa Datin Paduka Kartini, akan melapor terus kepada Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, Encik Jalil Rasheed. 

Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz – Datin Paduka Kartini adalah ahli pengurusan kanan PNB yang telah lama berkhidmat dan turut memacu pelaksanaan banyak usaha penggabungan dan pengambilalihan utama di PNB.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi di seluruh organisasi dan memperkukuhkan tahap prestasi, PNB telah memperkemaskan struktur organisasi bagi mencerminkan fungsi asas unit perniagaannya dalam usaha mencontohi amalan syarikat pengurus aset global terkemuka. 

Dengan itu, di samping Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, kepimpinan PNB kini diterajui 16 pengurusan kanan yang masing-masing mengetuai fungsi teras perniagaan PNB seperti berikut:-

  • Encik Jalil Rasheed, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan
  • Dato’ Mohd Nizam Zainordin, Timbalan Presiden & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan
  • Puan Hanizan Hood, Ketua Pegawai Pelaburan, Pasaran Awam
  • Encik Rick Ramli, Ketua Pegawai Pelaburan, Hartanah
  • Encik Mohammad Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif, ASNB
  • Encik Mohamad Idros Mosin, Ketua Pelaburan Strategik Kumpulan
  • Encik Mohd Irwan Ahmad Mustafa @ Mustafa, Ketua Pasaran Persendirian Kumpulan
  • Encik Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee, Ketua Pegawai Strategi
  • Encik Hafizuddin Sulaiman, Ketua Perbendaharaan Kumpulan
  • Puan Adibah Khairiah Ismail @ Daud, Ketua Setiausaha Syarikat & Undang-Undang Kumpulan
  • Encik Aziz Anuar, Ketua Hal Ehwal Awam Kumpulan
  • Encik Muzzaffar Othman, Ketua Pegawai Teknologi
  • Puan Aida Md Daud, Ketua Modal Insan Kumpulan
  • Puan Suzana Ahmad, Ketua Pegawai Risiko
  • Cik Fairuz Suzana Hj. Kamaruddin, Ketua Pematuhan & Integriti Kumpulan
  • Encik Noramly Bachok @ Abdul Aziz, Ketua, Asurans Dalaman
  • Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua, Pengurusan Syariah

Menyertai barisan kepimpinan PNB ialah Hafizuddin Sulaiman bagi mengetuai bahagian Perbendaharaan yang baru diwujudkan. Beliau bertanggungjawab ke atas pengurusan modal dan kecairan bagi keseluruhan perniagaan, termasuk penjanaan dana dan pengurusan liabiliti. 

Fungsi baharu ini diwujudkan selari dengan strategi kepelbagaian portfolio PNB, termasuk usaha untuk meningkatkan pendedahan pelaburan global. Hafizuddin memiliki pengalaman luas dalam penjanaan dana dan pelaporan kewangan semasa berkhidmat di Khazanah Nasional Berhad dan Ernst & Young Kuala Lumpur.

Melalui fasa perubahan ini, Tan sri Dr. Zeti beranggapan dapat membantu PNB membina modal insan bagi pelaksanaan Pelan Strategik PNB dengan visi untuk menjadi syarikat pelaburan yang bertaraf dunia.