Artikel

StoreHub Raih RM36.9 Juta Bagi Meningkatkan Platform F&B, Peruncitan Asia Tenggara

StoreHub hari ini telah mengumumkan memperolehi pembiayaan sebanyak RM36.9 juta pada pusingan pembiayaan yang diketuai oleh Vertex Ventures – sebuah pelabur terbesar dalam bidang teknologi di Asia.

Dengan fokus utamanya di pasaran Asia Tenggara, sistem operasi omnichannel StoreHub, kini telah menguasai lebih 13,000 kedai di rantau ini dengan nilai transaksi yang direkodkan lebih daripada RM5 bilion (AS$ 1.2B) dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Pelaburan ini akan meletakkan StoreHub pada landasan pertumbuhan yang agresif, di mana mereka akan meluaskan capaian platform dengan membolehkan peniaga meningkatkan pendapatan dan pelanggan mereka.

Sejak pembiayaan Siri A sebanyak RM20.2 juta pada awal tahun 2018, StoreHub telah merekodkan pertumbuhan yang pesat. 

StoreHub terdiri daripada 325 kakitangan beroperasi di beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Kuala Lumpur (Malaysia), Bangkok (Thailand), Manila (Filipina) dan Shanghai (China), dan jumlah ini akan terus untuk tahun 2020. 

StoreHub juga akan menggunakan suntikan dana untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran teras Malaysia, Filipina, dan Thailand. Dengan lebih daripada 40 jawatan kerja terbuka, StoreHub merancang untuk menggandakan saiz pasukannya tahun ini.

Fong Wai Hong, Ketua dan Pengasas Bersama StoreHub menerangkan bahawa industri runcit di Asia Tenggara kini sedang melalui perubahan besar yang didorong oleh teknologi. 

Menerusi penggunaan aktif pada telefon pintar, pengguna semakin berpengetahuan dan memiliki jangkaan lebih tinggi akan tempoh penghantaran dan tahap perkhidmatan. Dengan memanfaatkan kelebihan mereka dalam teknologi serta memahami keperluan para peniaga, StoreHub mendahului dalam pelbagai inovasi baru yang membolehkan para peniaga meningkatkan pendapatan dan produktiviti mereka.