Airbus hari ini (13 Jan) melaporkan jumlah jualan pesawat yang dihantar kepada pelanggan mereka meningkat 8% untuk tahun 2019, berbanding dengan tahun 2018.
Sebanyak 1,131 tempahan pesawat baharu dibuat bagi tahun 2019, 768 tempahan baharu bersih, dan sebanyak 7,482 pesawat telah ditempah dan harus dibina oleh syarikat itu.
Sebanyak 863 buah pesawat telah diberikan kepada 99 pelanggan mereka di serata dunia.
Di Malaysia, operasi Airbus semakin berkembang.
Syarikat konglomerat Eropah itu memiliki Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd (SAE), sebuah syarikat selenggara, pembaikan, dan overhaul (MRO) sejak 2017.
Malaysia kini mempunyai sekitar 230 buah pesawat Airbus yang ada dalam perkhidmatan. Sebanyak 480 buah pesawat lagi telah ditempah.
Menurut Ketua Airbus Malaysia, Raymond Lim, Airbus mempunyai 70% pasaran penerbangan sivil tempatan buat masa ini.
Selain itu, ratusan pesawat yang telah ditempah oleh AirAsia akan menambahkan angka ini menjadi lebih besar dalam jangka masa sederhana.
Selamat Tinggal A380
Semua jenis pesawat telah meningkat tahun demi tahun, kecuali A380.
Pesawat gergasi A380 telah susut pembinaan, dan hanya 8 buah telah disiapkan untuk tahun 2019 (berbanding 12 buah di 2018).
Sebelum ini, Airbus telahpun memutuskan untuk mengurangkan pembinaan A380 bagi tempoh terdekat ini, dan akan hentikan pembinaan sama sekali menjelang tahun 2025.
Walaupun demikian, pembinaan bagi pesawat jenis lain terus bertambah mendadak.
Pembinaan A220 meningkat dari 20 buah di 2018 ke 48 buah di 2019.
A320 meningkat dari 626 pesawat di 2018 ke 642 di 2019.
Manakala A330 telah naik dari 49 untuk tahun 2018, ke 53 untuk tahun lepas.
Pesawat terbaharu mereka, A350 telah naik dari 93 buah bagi tahun 2018 ke 112 di 2019.
Tempahan Boeing Susut, Airbus Naik
Disebabkan krisis yang sedang melanda syarikat AS Boeing, pelanggan kian berubah arah untuk membuat tempahan.
Boeing masih lagi mencari penyelesaian terhadap krisis 737 MAX yang semakin meruncing.
Sebelum ini, CEO Boeing telah pun meletak jawatan akibat dari kegagalan untuk menyelesaikan isu krisis ini.
Sambil Boeing mengemudi isu 737 MAX, Airbus menjadi satu-satunya pembikin pesawat komersial yang ada di pasaran.
Sebanyak 1,131 tempahan baharu telah dibuat bagi tahun 2019.
Airbus telah mencecah pengambilan tempahan pesawat melebihi paras 20,000 buat pertama kali dalam sejarah mereka.