Artikel

Kesemua 30 Kaunter KLCI Rugi Akibat Serangan Iran Terhadap Kem Tentera AS di Iraq

Pasaran bursa tempatan mengalami kerugian yang ketara akibat ketegangan perang yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Kesemua 30 kaunter teratas KLCI susut nilai pada dagangan pagi Rabu (8 Jan).

Maybank susut 3 sen kepada RM8.62, Ambank juga susut 3 sen kepada RM3.80, dan CIMB susut 6 sen kepada RM5.23.

Hong Leong Financial jatuh 30 sen kepada RM17.14.

Bagi sektor telekomunikasi, Axiata jatuh 11 sen kepada RM4.25, Maxis susut 5 sen kepada RM5.40, dan Digi hilang 3 sen kepada RM4.50.

IHH Healthcare mempunyai kepentingan di Timur Tengah. Mereka susut nilai 3 sen kepada RM5.57. 

Malaysia Airports, yang juga mempunyai kepentingan perniagaan di rantau itu, hilang nilai 16 sen kepada RM7.10.

Pada jam 10.22 pagi, harga minyak Brent Crude naik 4% kepada AS$70 setong, manakala WTI naik 4.5% kepada AS$66 setong.

FBM KLCI berada pada paras 1,596.68, susut 14.36 mata berbanding ditutup semalam dengan dagangan yang tidak menentu.