Artikel

Nurhisham, Rohaya, Kini Pengurusan Kanan KWSP

Ahli ekonomi Nurhisham Hussein telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Strategik (CSO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau sebelum ini menyertai KWSP pada tahun 2014 sebagai Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal, setelah berkhidmat di Malaysian Rating Corporation Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Affin Bank Berhad.

Jawatan CSO juga merupakan yang pernah disandang oleh Alizakri Alias sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai KWSP pada Ogos 2018. 

Kenaikan pangkat Nurhisham dari Ketua Jabatan Ekonomi ke Ketua Pegawai Strategik menarik perhatian para pelabur, kerana ia memberi gambaran bahawa Nurhisham adalah antara mereka yang mungkin memegang tampuk pentadbiran KWSP sekiranya Alizakri akhiri perkhidmatannya di sana.

Selain Nurhisham, satu lagi kenaikkan pangkat adalah Rohaya Mohammad Yusof.

Rohaya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) menggantikan Dato’ Mohamad Nasir yang bersara pada 31 Disember 2019.

Rohaya sebelum ini merupakan Ketua Pasaran Persendirian yang memimpin penerokaan peluang dalam pasaran persendirian domestik dan global.

Beliau menyertai KWSP pada tahun 2008 sebagai Ketua Kewangan Korporat di Bahagian Pelaburan. 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pasaran Modal. Sebelum menyertai KWSP, Rohaya memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Perbankan Pelaburan Korporat, Maybank Investment Bank (sebelumnya dikenali sebagai Aseambankers).

Rohaya dan Nurhisham menyertai pengurusan kanan dana persaraan yang diketuai oleh Alizakri Alias, termasuk Timbalan Ketua Pegawai KWSP (Operasi) Dato’ Mohd Naim Daruwish, Ketua Pegawai Kewangan Sazaliza Zainuddin dan Ketua Pegawai Teknologi Muhammad Afhzal Abdul Rahman.