Artikel

Menjelang 2028, 1 Juta Unit Rumah Mampu Milik Bakal Dicapai

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin, pihaknya memahami bahawa keperluan pasaran adalah rumah berharga kurang daripada RM300,000. 

Pihak mereka turut mengesahkan telah memperolehi persetujuan daripada pemaju swasta untuk membangunkan lebih banyak lagi unit rumah mampu milik. Secara tidak langsung kerajaan akan mengurangkan pembinaan rumah mewah.

Perihal ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk pelaksanaan 1 juta unit rumah mampu miliki menjelang 2028. 

Buat masa ini, terdapat 39,864 unit rumah mampu milik di seluruh negara telah siap dan 181,211 unit lagi sedang dalam pembinaan, sementara 386,340 unit sedang dirancang.

Sasaran kerajaan adalah pembinaan 100,000 unit rumah setahun. 

Tambah Zuraida lagi, kategori rumah lain juga sedang dibangunkan, termasuk 3,898 unit di bawah projek perumahan rakyat (PPR), 4,448 unit untuk rumah transit pemuda dan 4,245 unit di bawah skim perumahan kakitangan awam (PPAM), yang kesemuanya akan siap pada tahun ini.

Untuk makluman pembaca, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menyediakan rumah kepada 4,989 keluarga di seluruh negara, di mana 3,019 adalah Rumah Mesra Rakyat, manakala 1,970 unit lagi adalah di bawah skim Perumahan Mampu SPNB.

Manakala, isu lambakan unit rumah mewah yang tidak terjual pula adalah disebabkan ketidaktentuan permintaan dan bekalan berikutan kurangnya data yang sesuai untuk aktiviti perancangan.

Bagi menangani permasalahan tersebut, KPKT sedang membangunkan sistem data besar yang akan memberikan maklumat berdasarkan permintaan perumahan yang diunjurkan mengikut lokasi dan harga.