Artikel

1% Indeks Billionaire Bloomberg Adalah Rakyat Malaysia

Terdapat lima rakyat Malaysia yang tersenarai dalam Indeks Billionaire Bloomberg, sebuah senarai yang menghimpunkan 500 orang terkaya di dunia.

Mengungguli carta ini untuk rakyat Malaysia adalah Robert Kuok, yang mempunyai nilai aset bersih bernilai sebanyak RM70 bilion (AS$17.1 bilion).

 

Beliau menduduki tempat ke-74, sekiranya dihimpunkan bersama 500 orang terkaya yang lain di dunia.

Pengasas Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula menduduki tangga ke-294 di dalam senarai ini.

Aset beliau jatuh mendadak,  sebanyak RM3.4 bilion (AS$840 juta) pada tahun 2019, akibat penyusutan nilai pegangan beliau di Public Bank.

Tan Sri Teh kini bernilai sebanyak RM26 bilion (AS$6.46 bilion).

Menduduki tangga ke-322 pula, adalah Tan Sri Dr. Chen Lip Keong.

Tan Sri Chen, yang memulakan perjalanan beliau sebagai seorang doktor perubatan, kelulusan Universiti Malaya, meneruskan usaha beliau dalam dunia perniagaan.

Beliau merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif NagaCorp Limited, dan mempunyai lesen perjudian kasino di Kemboja.

Tahun 2019 merupakan tahun yang amat baik untuk Tan Sri Chen, apabila nilai beliau bertambah hampir RM10 bilion (AS$2.37 bilion) kerana pertumbuhan kasino beliau di negara itu.

Tan Sri Chen bernilai sebanyak RM24.7 bilion (AS$6.06 bilion) pada akhir tahun 2019.

Tan Sri Quek Leng Chan, pengasas Kumpulan Hong Leong menduduki tangga ke-356 orang terkaya di dunia.

Harta beliau ditambah RM3.6 bilion (AS$877 bilion) pada tahun 2019, hasil daripada usaha mempelbagaikan sumber pendapatan beliau, dan bukannya menumpukan tumpuan kepada industri perbankan sahaja.

Tan Sri Quek kini bernilai sebanyak RM23 bilion (AS$5.66) sehingga akhir tahun 2019.

Rakyat Malaysia yang kelima menduduki carta Indeks Billionaires Bloomberg ini adalah Ananda Krishnan. 

Ananda, atau dikenali sebagai ‘AK’ dikalangan pelabur di negara ini, meningkatkan nilai aset beliau sebanyak RM1.4 bilion (AS$348 bilion) pada tahun lepas. 

Pegangan beliau di Maxis, Astro, dan beberapa syarikat lain telah menyaksikan pertumbuhan baik pada tahun lepas.

Beliau kini bernilai sebanyak RM18.4 bilion (AS$4.51 bilion) pada akhir tahun 2019.

Sebagai perbandingan, Singapura mempunyai lapan orang dalam senarai 500 orang terkaya ini, manakala Indonesia mempunyai empat orang, dan Thailand mempunyai enam orang.

Orang terkaya di dunia untuk tahun 2019 kekal pengasas Amazon – Jeff Bezos, diikuti dengan pengasas Microsoft – Bill Gates.

Pengerusi LVMH – Bernard Arnault – melengkapkan senarai tiga orang terkaya di dunia.