Artikel

Bezos Masih Lagi Orang Terkaya Di Dunia, Meskipun Sebahagian Hartanya Lesap Akibat Penceraian

Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos, kekal sebagai orang terkaya di dunia. Meskipun hartanya berkurangan akibat proses penceraian beliau dengan bekas isterinya pada tahun 2019.

Manakala, MacKenzie Sheri Bezos kini merupakan orang kelima terkaya di dunia setelah mendapat sebahagian harta Jeff Bezos.

Walaupun begitu, Jeff Bezos tetap kekal unggul sebagai orang terkaya di dunia, dan mempunyai aset sebanyak RM470 bilion (AS$115 bilion) pada akhir tahun 2019.

Perkara ini didedahkan oleh Bloomberg menerusi Indeks Billionaires Bloomberg pagi Khamis tadi.

Selain itu, pengasas Microsoft – Bill Gates – menambah RM94 bilion (AS$23 bilion) kepada hartanya pada tahun lepas, mengekalkan beliau sebagai orang kedua terkaya di dunia, dibelakang Bezos.

Jumlah aset Gates kini bernilai RM462 bilion (AS$113 bilion)

Setelah sekian lama, hanya Bezos dan Gates sahaja yang mempunyai aset melangkaui paras AS$100 bilion. 

Tetapi pada tahun lepas, terdapat orang ketiga yang mendapat akses kepada kelab ‘hundred bilion dolar’ ini.

Bernard Arnault, Pengerusi LVMH menambah sebanyak RM151 bilion (AS$37 bilion) kepada aset beliau, menjadikan beliau orang ketiga terkaya di dunia, dan juga orang ketiga yang mendapat keahlian kepada kelab ‘hundred bilion dolar’, atau disebut ‘centibillionaire’ di dalam Bahasa Inggeris. 

Arnault kini bernilai RM433 bilion (AS$106 bilion)

Indeks ini juga menunjukkan penambahan harta sebanyak RM4.9 trilion (AS$1.2 trilion) kepada 500 orang terkaya di dunia, menjumlahkan total aset kumpulan ini kepada hampir AS$6 trilion, atau RM24.5 trilion, keseluruhannya.