Artikel

MCMC guna pendekatan baharu untuk peruntukan spektrum 5G

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan pendekatan dimana peruntukan jalur-jalur spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz dibuat kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen, dan bukannya kepada pemegang lesen individu tertentu.

Bagi tujuan ini, MCMC akan melaksanakan proses tender (beauty contest). Sebuah proses di mana syarikat-syarikat yang inginkan spektrum ini harus bergabung dengan satu sama lain, dan buktikan kepada MCMC bahawa gabungan mereka adalah yang terbaik berbanding dengan gabungan yang lain.

MCMC tidak menjelaskan siapa dari pihak mereka yang akan tentukan “pemenang beauty contest” ini.

Menurut MCMC, pendekatan ini adalah untuk mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih berterusan.

MCMC berkata, ini adalah antara keputusan yang mereka buat untuk mengenal pasti jalur-jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz sebagai jalur spektrum perintis (pioneer) untuk pelaksanaan 5G di Malaysia, berikutan perkembangan ekosistem dan pelaksanaan 5G yang pesat di seluruh dunia.

Memandangkan ini adalah pendekatan baru, MCMC hanya akan memperuntukkan 2×30 MHz bagi jalur spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz. Frekuensi selebihnya akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya.

Penguntukan bagi jalur spektrum 26/28 GHz akan dilakukan melalui dua kaedah. Frekuensi 24.9 GHz hingga 26.5 GHz akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan seluruh negara.

Manakala, frekuensi 26.5 GHz hingga 28.1 GHz akan diperuntukkan secara “first-come first-served” dan dibuka kepada mana-mana pihak (termasuk bukan pemegang lesen) untuk penggunaan kawasan setempat dan/atau rangkaian persendirian.

Penguntukan bagi jalur-jalur spektrum yang disebut di atas adalah dibuat melalui penguntukan radas (“Apparatus Assignment”).

MCMC menjangkakan fi spektrum yang dikenakan melalui peruntukan radas adalah lebih menjimatkan dan akan menggalakkan pelaksanaan rangkaian oleh penyedia-penyedia perkhidmatan.

Dengan penjimatan ini, perniagaan dan pengguna akan mendapat manfaat dan menikmati perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

MCMC menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga tahun 2020, apabila selesainya proses penguntukan tersebut. Ini adalah selari dengan perbincangan oleh Pasukan Petugas Khas 5G Negara (Special National Task Force) yang telah ditubuhkan sejak November 2018.

Badan ini dianggotai sebanyak 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian dan agensi mewakili bahagian bekalan dan permintaan dalam ekosistem tersebut.