Artikel

Terima Kasih 2020 – Ini 10 Perkara Yang Akan Di Ingati Rakyat Malaysia

Tiada siapa menyangka tahun 2020 bakal meninggalkan kesan yang mendalam buat rakyat Malaysia, bahkan untuk seluruh rakyat di dunia.

Sekiranya tahun 2020 ini adalah sebuah kain putih yang mampu penulis corakkan, sudah pasti seni yang terukir pada kain putih ini akan kelabu sepenuhnya. Itulah takrifan yang tepat mampu digambarkan olehpenulis, terlalu bercelaru. Terlalu banyak kesulitan yang terjadi tanpa diduga semua pihak.

Maka ini adalah 10 cebisan utama yang dipilih penulis bagi sepanjang tahun 2020:

Pertama: Penularan COVID-19, Rencatkan Seluruh Aktiviti Pelancongan, Ekonomi Malaysia

Seharusnya tahun 2020 ini menjadi sebuah tahun yang gah buat negara kita seperti pelancaran Visit Malaysia 2020, namun disebabkan penularan pandemik – penutupan pintu sempadan terpaksa dilakukan. Tindakan itu secara jelas telah meranapkan impian negara yang menyasarkan kehadiran 30 bilion pelancong asing dan perolehan hasil RM100 bilion.

Apa yang lebih menyedihkan, kerugian terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dengan anggaran sekitar RM60 bilion. Malah, seramai 1 juta dari 3.5 juta pemain industri pelancongan tempatan terpaksa berdepan dengan kehilangan pekerjaan. Kenyataan itu secara terus mendorong peningkatan kadar pengangguran negara melebihi 800,000 individu.

Bukan sekadar sektor pelancongan, tetapi sektor perniagaan lain turut menerima kesan yang sama. Di mana perlu menghentikan seketika operasi, dan menanggung beban kos kerugian.

Sehingga November – difahamkan lebih 50,269 syarikat telah ditutup.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), aliran penutupan operasi syarikat dan PKS di Malaysia jelas menunjukkan peningkatan sejak Mac lagi.

Di mana, Mac sehingga Jun 2020 terdapat 9,675 jumlah premis ditutup. Manakala pada September pula sejumlah 22,794 operasi perniagaan telah ditutup.

Sementara itu, pada Ogos 2020 telah mencatatkan angka penutupan operasi paling tertinggi dengan 17,800 syarikat dan perniagaan telah ditutup.

Kedua: Drama Politik Malaysia Kekal Berterusan Meskipun Negara Dilanda Pandemik

Bayangkan, dikala rakyat sedang khuatir akan situasi pandemik – ahli politik pula dilihat rancak bermain wayang sesama mereka dengan bertindak membentuk pakatan baharu secara tiba-tiba.

Itulah realiti yang berlaku.

Gerakan langkah Sheraton telah membawa kepada kepincangan kerajaan pada ketika itu Pakatan Harapan, seterusnya mendorong tindakan Tun Dr Mahathir untuk meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri ke-7.

Sejujurnya, tindakan tersebut tidak menyalahi undang-undang, namun ia adalah suatu gerakan yang mengecewakan seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar mengejutkan namun memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

Ketidaktentuan politik Malaysia telah menyebabkan berlakunya penurunan pada pertumbuhan penurunan eksport, defisit fiskal, dan kerugian pada penggunaan domestik.

Ini bermakna ahli politik telah berjaya menambahkan bebanan kepada aliran pertumbuhan ekonomi negara.

Ketiga: Sistem Pendidikan Negara Masih Rendah, Ramai Pelajar Ketinggalan Dalam Penggunaan Pembelajaran Secara Talian

Dalam kegawatan ketika ini, sektor pendidikan mulai mengambil langkah drastik dengan menetapkan agihan pembelajaran secara digital kepada semua pelajar peringkat umur.

Namun berdasarkan tinjauan terdapat 37% murid tidak memiliki peranti pintar untuk mengakses pembelajaran secara dalam talian. Malah, berikutan mengalami kelemahan rangkaian internet – ia secara tidak langsung merencatkan lagi pembelajaran para pelajar secara maya.

Sekolah Covid

Apa yang lebih merunsingkan adalah kumpulan pelajar pendalaman yang tidak memiliki sebarang akses internet dan hanya mampu bergantung kepada input TV Pendidikan sahaja.

Penulis melihat keadaan ini sesuatu yang tidak wajar dan tidak adil untuk dilalui oleh para pelajar. Ini kerana kelemahan pengurusan telah menyebabkan potensi pembelajaran pelajar semakin merundum.

Malah keadaan semasa telah membawa kepada penangguhan beberapa peperiksaan utama seperti SPM, PT3 dan UPSR ditangguhkan. Selain itu, peringkat pengajian tinggi juga terpaksa melalui nasib yang sama, pembelajaran secara maya dan acara konvokesyen ditangguhkan.

Manakala, pelajar luar negara pula terpaksa menghentikan perjalanan pulang semula ke kampus masing-masing. Tindakan itu perlu dilakukan demi keselamatan diri untuk jangka masa panjang.

Sudah pasti situasi ini sukar untuk dilupakan oleh para pelajar.

Keempat: Ramai Rakyat Malaysia Diberhentikan Pekerjaan Tanpa Notis, Tanpa Gaji – Kadar Pengangguran Cecah 800,000 Individu

Desakan pertumbuhan ekonomi menyebabkan sesetengah majikan bertindak memberhentikan pekerja mereka tanpa notis ataupun pemberian gaji.

Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia kini menegaskan pihak majikan tidak dibenarkan untuk memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan mereka atau cuti tidak berbayar dalam tempoh ini.

Ini kerana tempoh kawalan dibuat berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pekerja bagi gaji secara harian juga harus dibayar berdasarkan perjanjian antara pekerja dan majikan dalam surat tawaran ataupun kontrak perkhidmatan terkini.

Tindakan ini selari dengan Perintah Gaji Minimum 2020 yang sedang dilaksanakan.

Antara sebab utama keadaan ini berlaku adalah tiadanya ketersediaan majikan dalam menghadapi situasi bencana, malah pengeluaran produk tidak dapat dihasilkan menyebabkan penurunan permintaan.

Kelima: Pakej Prihatin RM250 Bilion, Belanjawan 2021 Sebanyak RM322.5 Bilion – Peruntukan Tertinggi Dalam Sejarah Negara

Meskipun ini bukanlah kerajaan pilihan rakyat – namun kreadibiliti mereka tetap disanjung tinggi oleh rakyat negara.

Keyakinan kerajaan dalam menetapkan peruntukan Belanjawan 2021 sekitar RM322.5 bilion dan agihan bantuan dana Prihatin sebanyak RM250 bilion telah mengejutkan semua pihak.

Usaha agresif ini dilihat bertujuan membantu fiskal negara dan kewangan rakyat dalam menyeimbangkan semula aliran tunai.

Selain itu, inisiatif ini juga merangkumi pembangunan dan perbelanjaan mapan pada pertumbuhan 2021 kelak – khususnya menangani COVID-19 dan meningkatkan pelaburan negara.

Bagaimanapun, tindakan penetapan angka ini jelas mencetuskan pelbagai perdebatan berhubung kedudukan kewangan negara dan kadar hutang yang semakin meruncing.

Keenam: Pilihan Raya Umum Sabah Cetus Kehadiran Gelombang Ketiga COVID-19

Tatkala negara sedang runsing akan peningkatan kes harian COVID-19, ternyata ada pihak yang masih ingin berpolitik.

Pelaksanaan Pilihan Raya Sabah jelas telah membuka semula peningkatan kes COVID-19 di Malaysia. Ternyata kebimbangan penulis mulai menjadi realiti, apabila individu yang tiba dari Sabah mula menjangkiti individu di negeri lain.

Antara negeri yang terkesan disebabkan penularan pandemik di Sabah adalah Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur. Penularan secara mendadak ini jelas menunjukkan masih ada ketidaksedaran pada sistem pengawalan Malaysia.

Tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mewajibkan ujian saringan ke atas individu yang tiba dari Sabah juga turut disifatkan perlahan. Ia kerana, situasi ketika ini tidak menbantu menghentikan penularan, bahkan angka kes semakin meningkat.

Tanpa sedar, peningkatan kes pada gelombang ketiga ini telah membawa kepada lanjutan PKPB sehingga 14 Januari 2021 kelak.

Ketujuh: Kesan Pandemik, Peralihan Kepada Penggunaan Digital Meningkat Drastik

Walaupun, penularan CVODI-19 telah merencatkan sektor ekonomi negara tetapi terdapatnya kebaikan dalam kalangan rakyat Malaysia dan  peralihan sistem perniagaan kepada atas talian – digital.

Sebelum ini, pelbagai perniagaan lebih memilih pemasaran fizikal ataupun tradisional berbanding pemasaran secara atas talian. Desakan pandemik telah menyebabkan semua pihak perlu bertindak pantas.

Antaranya adalah peralihan bazar ramadan kepada e-bazar, yang membolehkan para usahawan menjual produk melalui platform atas talian seperti Grab dan media sosial dan ini telah membuka jalan bagi usahawan untuk menerapkan digitalisasi dalam perniagaan.

Selain itu penggunaan pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai) pula telah mula diterima baik oleh 70% rakyat Malaysia. Tinjauan dapatan Visa Malaysia itu jelas menunjukkan masyarakat negara tidak khuatir lagi akan penggunaan transaksi tersebut. Malah penerimaan baik ini telah membantu merancakkan semula aliran tunai pada pertumbuhan ekonomi negara.

Apa yang lebih menarik, pada ketika ini platform e-dagang dan aplikasi digital adalah antara entiti yang menerima pulangan tertinggi berbanding medium fizikal yang lain. Ini kerana, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membuka peluang yang lebih besar kepada platform seperti Shopee, Lazada, Zalora menjana pendapatan. Bukan itu sahaja, platform mereka turut membantu rakyat negara yang terkesan menjana pendapatan.

Kelapan: #KitaJagaKita – Bukti Kesepakatan Rakyat Malaysia Masih Utuh Tanpa Sebarang Kepentingan Diri

Tagar Kita Jaga Kita – sememangnya sebuah simbolik yang perlu dibanggakan oleh rakyat negara Malaysia. Tagar ini dibentuk  ketika kewujudan pandemik COVID-19, ia bagi membantu rakyat sesama rakyat dalam mengetahui tindakan selanjutnya ataupun memerlukan bantuan tanpa sebarang agenda tersembunyi.

Sekiranya terdapat merasakan tagar tersebut berbentuk provokasi, ternyata anda salah.

Menerusi tagar itu, suara rakyat seolah-olah didengari oleh pelbagai pihak. Secara tidak langsung laungan Kita Jaga Kita ini menunjukkan rakyat mampu bersatu meskipun dihimpit kesukaran semasa.

Penulis juga perlu mengakui – terbitan tagar Kita Jaga Kita ini dilihat sebuah gerakan yang baik dalam memberi kritikan membina kepada pihak berkepentingan. Tindakan itu bagi memastikan kekurangan yang sedia ada dapat diperbetulkan menerusi suara rakyat.

Kesembilan: Tahun 2020, 53% Rakyat Malaysia Masih Gagal Melakukan Simpanan Peribadi

Meskipun negara sudah berada di abad ke 2020, namun isu simpanan peribadi masih lagi gagal dilakukan.

Tinjauan literasi kewangan Visa bersama RinggitPlus telah menyatakan hampir 53% rakyat Malaysia mengakui tidak mampu untuk bertahan lebih 3 bulan wang simpanan mereka.

Manakala berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) – hanya 6% rakyat Malaysia sahaja yang mampu meneruskan kelangsungan kehidupan mereka bagi simpanan tempoh 6 bulan.

Malah sekitar 75% rakyat negara dikatakan tidak memiliki simpanan sehingga RM1,000.

Lebih mengerunkan, cabaran pandemik COVID-19 ketika ini telah mendorong peningkatan nisbah hutang isi rumah bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap tertinggi. Iaitu pada nilai 87.5%.

Kenyataan ini seharusnya dipandang serius oleh masyarakat negara khususnya dikala situasi ekonomi negara yang lemah ketika ini – memerlukan simpanan yang baik untuk menampung kelangsungan hidup.

Kesepuluh: Sekiranya Penularan COVID-19 Memasuki Gelombang Keempat, Maka Kadar Hutang Negara Akan Semakin Meningkat Disebabkan Pinjaman

Seandainya penularan pandemik COVID-19 negara memasuki gelombang keempat, maka Malaysia perlu melaksanakan suntikan dana pinjaman bagi membantu pertumbuhan sosio-ekonomi.

Perkara itu telah dijelaskan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). Defisit negara telah mencatatkan lebih 6% berbanding 3.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tindakan pinjaman itu adalah untuk memastikan kesan buruk yang akan berlaku pada ekonomi negara dapat diseimbangkan dengan baik.

Bagaimanapun terdapat beberapa pihak menyatakan – pelaksanaan peruntukan Belanjawan 2021 mampu mengakibatkan peningkatan pada kadar hutang negara.

Seharusnya, fokus terhadap sosio-ekonomi dan rakyat negara diberi keutamaan. Ini kerana, pertumbuhan negara telah merosot. Itu bermakna pendapatan kerajaan turut terkesan.

Namun kenyataan itu masih lagi menjadi persoalan, apakah kedudukan hutang negara akan semakin meningkat? Sama-sama kita nantikan.