Artikel

AirAsia Food Akan Dilancarkan Di Singapura Pada Akhir Januari 2021

Usaha AirAsia dalam mengembangkan pasaran aplikasi penghantaran makanannya kini akan dilakukan pada pasaran Singapura, akhir Januari 2021.

Kenyataan itu telah dimaklumkan oleh AirAsia pada laman rasminya. Seperti yang umum ketahui, kini AirAsia – syarikat penerbangan tambang murah mula terlibat dalam segmen perniagaan penghantaran makanan pada pasaran negara.

Selain perluasan tersebut, segmen dibawah AirAsia Digital itu turut memaklumkan pihaknya kini sedang menawarkan kadar komisen 10% sahaja bagi membolehkan peniaga memperolehi pulangan lebih tinggi sambil mampu mengawal sepenuhnya penetapan harga dan pemaparan menu makanan yang ditawarkan.

Malah, AirAsia Food turut mengatakan penetapan harga makanan pada segmen mereka dilihat paling rendah dan berpatutan dengan selera pengguna.

Selain Singapura, beberapa negara Asean lain turut akan ditawarkan penggunaan aplikasi tersebut kelak.

Sebelum ini, Tony Fernandes – Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia pernah berkongsikan gambar beliau yang turut serta dalam proses penghantaran makanan kepada pelanggan bagi mempromosikan segmen AirAsia Food.