Artikel

Polisi Pembangunan Semula Rumah Mampu Milik Berusia 30 Tahun, Beri Manfaat Kepada B40

Polisi baharu pembangunan perumahan di Malaysia akan diperkenalkan, usaha ini secara terus dapat membantu golongan B40 menikmati kelengkapan kediaman yang lebih baik.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Dasar Pembangunan Semula Perumahan Awam iaitu Rumah Mampu Milik untuk membina rumah yang lebih selesa untuk menggantikan rumah yang terlalu lama.

Menurut Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT menerusi dasar ini rakyat negara mampu menerima pelbagai kemudahan kediaman yang lebih baik. Usaha itu akan merangkumi kerja-kerja penambahbaikan – di mana rumah berusia 30 tahun, akan diroboh dan dibina semula.

Proses tersebut bukan sekadar memberi kelengkapan kediaman baharu bahkan, kapasiti keluasan rumah juga dijangka lebih besar dengan berkeluasan 900 kaki persegi.

Pembentukan dasar ini adalah bagi mengatasi kos tanggungan penyelenggaran PPR dilihat tinggi – ini kerana masalah yang sama masih lagi berulang. Oleh itu, pembangunan semula kediaman terlibat perlu dilaksanakan.

Setakat ini dasar tersebut sedang diperkemaskan dan akan dibawa ke Kabinet serta dibentangkan ke Parlimen untuk perolehi kelulusan.