Artikel

Sekitar RM486.3 Juta Lebihan Cukai Gagal Dibayar Balik Kepada Pembayar Cukai

Kegagalan sebahagian pembayar cukai dalam mengemaskini butiran peribadi mereka pada akaun cukai dan bank itu menyebabkan lebihan cukai gagal dibayar semula kepada mereka.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataannya mengatakan hampir RM486.3 juta lebihan cukai atau lebihan kredit tidak dapat dibayar semula kepada pembayar pada tahun 2018.

Selain tidak mengemaskini maklumat pada akaun, perbezaan alamat dan nombor pengenalan diri juga menyulitkan lagi kaedah pembayaran semula tersebut.

Untuk makluman, wujudnya keadaan bayaran balik cukai ini apabila pembayar cukai telah membuat bayaran melebihi daripada angka cukai sebenarnya. Ataupun, pembayar cukai menerima taksiran cukai yang dikurangkan – oleh itu terdapatnya lebihan bayaran cukai.

Maka, menerusi penerimaan bayaran balik cukai kepada pembayar ini ia dapat digunakan sebagai kredit untuk membayar cukai tahun semasa.

Oleh itu, para pembayar cukai dinasihatkan untuk mengisi maklumat terkini pada Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahunan mereka untuk menerima kredit tersebut.

Ini kerana, menerusi tindakan tersebut bayaran balik lebihan cukai akan dilakukan secara automatik kepada pembayar cukai dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penghantaran borang BNCP tersebut.