Artikel

Lazada Mula Menekankan Ciri “Sponsored Search” Dikalangan Penjual Untuk Meningkatkan Pembelian

Lazada merupakan salah satu platform edagang popular di Malaysia. Lazada merupakan yang mempopularkan jualan 11.11 dan 12.12 di Malaysia, sebelum kini tarikh berkenaan turut digunakan penyedia platform lain dalam menawarkan diskaun dan sebagainya.

Terbaru, Lazada berkongsi mengatakan Lazada Malaysia berjaya memecahkan rekod jualan 12.12 tahun-tahun lepas, dalam masa hanya 12 jam sahaja. Purata tambah-nilai ke dalam Lazada Wallet juga dilihat bertambah sekitar 40%, selain mana, lebih 80% perniagaan tempatan memperlihatkan peningkatan penjanaan jualan atas-talian.

Pada masa yang sama, Lazada turut menyentuh mengatakan penjual yang menggunakan ciri Sponsored Search semasa 12.12 menyaksikan pulangan pelaburan sehingga RM1,000 untuk setiap RM1 yang dibelanjakan.

Selain ciri Sponsored Search, pihak Lazada turut menekankan kepada ciri Sponsored Affiliate dalam meningkatkan penjualan.

Dengan langkah ini, selain penjual yang boleh meningkatkan jualan mereka, Lazada juga secara tidak langsung mempelbagaikan kaedah mereka menjana wang melalui platform.

Selain penekanan pada Lazada Wallet, kini Lazada turut dilihat menekankan pengiklanan produk melalui platform mereka – dan pada masa yang sama telah mula menawarkan baucar diskaun dalam bentuk langganan.

Mungkinkah selepas ini kita akan melihat Lazada turut mengikut kaedah Amazon dalam menawarkan produk berjenama mereka tersendiri melalui platform edagang mereka?