Artikel

Setelah 126 Tahun, Perkhidmatan Feri Pulau Pinang Bakal Melabuhkan Tirainya

Tidak lama lagi, perkhidmatan feri Pulau Pinang bakal melabuhkan tirainya. Perkara itu secara tidak langsung telah meningkatkan jumlah penumpangnya, meskipun di luar waktu puncak operasi.

Untuk makluman, bermula 1 Januari 2021 kelak – pengangkutan feri Pulau Pinang bakal digantikan dengan pengangkutan bot laju baharu. Menurut Datuk Tan Teik Cheng, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), pembaharuan tersebut khusus membawa penumpang pejalan kaki sahaja.

Sementara itu, terdapat feri sedia yang hanya membawa penumpang kenderaan motosikal dan basikal sahaja. Itu bermakna, tiada lagi kenderaan penumpang seperti kereta dapat menyeberangi bahagian pulau tersebut.

Mengambil peluang itu, minggu ini telah memperlihatkan ramai penumpang kenderaan empat roda telah menaiki feri tersebut sebelum perkhidmatan ditamatkan pada tahun hadapan.

Siapa sangka, perkhidmatan feri yang telah diusahakan sejak tahun 1894 ini – kini bakal melabuhkan tirai perkhidmatannya pada sektor pelancongan negara.