Artikel

DuitNow QR – Satu Kod QR Universal Untuk Transaksi Pembayaran Nirtunai Tanpa Mengira Dompet Digital

Pada hari ini, terdapat sejumlah penyedia perkhidmatan dompet digital, sekaligus membuatkan pengguna perlu mempunyai sebuah dompet digital khusus untuk mengimbas dan melakukan pembayaran nirtunai.

Untuk pekedai juga, mereka terpaksa memperlihatkan pelbagai kod QR di kaunter – yang mungkin memakan ruang, atau menganggu susun atur kedai berkenaan membuatkannya tidak kemas.

Kod QR

Apa pun, perkara berkenaan kini bakal diatasi dengan pelaksanaan DuitNow QR.

DuitNow QR membolehkan para pekedai untuk mendaftar dan hanya memaparkan satu kod QR sahaja di kedai mereka. Pengguna boleh menggunakan sebarang dompet digital yang diinginkan, mengimbasnya dan melakukan pembayaran.

Kod QR universal ini telah mula diimplementasikan secara berperingkat. Sejumlah pekedai telah mula memaparkan pilihan DuitNow QR, sementara dompet digital juga telah mula menambah integrasinya.

Pihak Shopee telah pun menambahnya pada dompet digital ShopeePay mereka, dan beberapa penyedia seperti Grab dan Touch n Go dijangka melaksanakannya dalam masa terdekat.

Dengan langkah ini, ia sekaligus akan memudahkan pengguna memilih dompet digital kegemaran mereka, dan menggunakannya untuk pelbagai transaksi harian. Pada masa yang sama, ia juga akan memudahkan urusan pekedai dalam memaparkan kod, dan menerima bayaran terus ke akaun mereka tanpa perlu menunggu beberapa hari sebelum duit dipindahkan dari suatu akaun dompet digital ke akaun bank mereka.