Shopback, salah satu penyedia perkhidmatan pulangan tunai untuk pembelian secara atas-talian, kini berkongsi sejumlah data menarik berkaitan jualan 12.12 yang diadakan oleh pelbagai laman edagang beberapa hari lepas.
Mengikut data pengguna Shopback, mereka menyaksikan peningkatan trafik pembelian sehingga 30x berbanding hari biasa pada jam pertama antara 12 pagi sehingga 1 pagi, pada 12.12.
Secara keseluruhan, Shopback mengatakan telah memberikan pulangan tunai sehingga RM300,000 untuk pengguna Malaysia bagi pembelian pada 12.12 lepas.
Selain pembelian barangan biasa, Shopback turut memperlihatkan peningkatan sehingga 100% untuk pembelian pakej percutian atau pelancongan.
Menurut Shopback, secara purata pengguna Malaysia berbelanja sehingga RM200 pada 12.12 ini. Pengguna Shopback dengan belanja paling tinggi dilihat melakukannya pada laman Zalora, dan akan menerima pulangan tunai sehingga RM1,200 selepas pembeliannya disahkan pihak Zalora.