Artikel

Hampir 98% Dari 2.7 Juta Individu Bekerja Sendiri Tidak Mencarum Skim Keselamatan Sosial – KRI

Jumlah individu bekerja sendiri negara kini memaparkan pertambahan kepada 2.7 juta bagi tahun 2019. Kenaikan tersebut didorong faktor urbanisasi di Malaysia.

Bagaimanapun, kesedaran berhubung keselamatan sosial masih lagi rendah dalam kalangan individu yang bekerja sendiri.

Berdasarkan Khazanah Research Institute (KRI) dengan sokongan data MDEC – hanya 0.03 juta ataupun 30,000 (1.11%) individu bekerja sendiri sahaja yang melakukan caruman pada Perkeso iaitu skim keselamatan sosial.

Angka caruman ini dilihat masih kurang pendedahan berhubung keselamatan dan risiko yang sedang dilalui oleh para pekerja tersebut – ini merangkumi pekerja gig ekonomi yang terdedah dengan risiko bahaya secara ketara.

Tidak hanya skim keselamatan sosial, namun penglibatan caruman pada skim simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga turut memaparkan penglibatan rendah.

Hanya 9.6% sahaja dari 2.7 juta individu bekerja sendiri mencarum KWSP. Ini bermakna sekitar 0.26 juta ataupun 260,000 individu sahaja yang melaksanakan tanggungjawab bagi simpanan pada hari tua kelak.

Tahap kesedaran kepentingan pelindungan ini perlu dipertingkatkan bagi membantu para pekerja sendiri untuk menghadapi kesukaran di masa hadapan. Selain pendedahan tersebut jurang perlindungan pada undang-undang negara juga perlu diperkasakan untuk kumpulan ini.

Ini kerana, kehadiran era pandemik telah mengubah landskap pertumbuhan ekonomi negara – oleh itu, persediaan yang lebih baik harus dilakukan.