Artikel

Hanya 55.6% Kadar Penyertaan Wanita Dalam Sektor Ekonomi Dicatatkan – Masih Rendah

Jurang indeks gender Malaysia (MGGI) catat data 0.709 – ini bermakna penyertaan wanita secara menyeluruh dalam ekonomi negara masih lagi rendah.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebelum ini telah memperkenalkan Indeks Jurang Gender Dunia (GGI) di mana sekiranya sesebuah negara mencapai skor 1.0 (100%) maka keseimbangan penyertaan ekonomi dalam gender adalah baik dan seimbang.

Namun tidak bagi Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peluang dan penyertaan ekonomi wanita dilihat begitu rendah dengan hanya 55.6% sahaja kadar penglibatan tenaga buruh berbanding lelaki 80.8%.

Laporan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih 2020 ini jelas menunjukkan anggaran pendapatan yang diperolehi wanita kekal rendah berbanding lelaki.

Di mana wanita sekadar mencatatkan RM37,296 bebanding lelaki RM39,648 – ini bermakna bagi setiap RM100 gaji dan upah diterima oleh para lelaki, wanita sekadar menerima RM94.07.

Pemerhatian itu dilakukan berdasarkan kedudukan dan kemahiran yang sama.

Malah, sektor profesional dan bahagian teknikal juga turut memaparkan angka yang rendah pada penglibatan wanita dengan 44.4% manakala lelaki 55.6%.

Tidak hanya sektor ekonomi bahkan, bahagian pengubal undang-undang dan kementerian juga menunjukkan penglibatan wanita rendah. Hampir 76.7% adalah lelaki dan wanita hanya 23.3%. Bermakna tiga perempat jumlah pengubal undang-undang negara dimonopoli para lelaki.

Sementara itu bahagian kementerian (17.9%) dan parlimen (14.9%) sahaja penyertaan wanita.