Sejak setahun dua kebelakangan ini, kita melihat pelbagai gergasi internet memasuki arena kewangan. Google sedia memfokuskan penawaran Google Pay – termasuk dinegara membangun seperti India, Apple pula dengan penawaran kad kredit mereka tersendiri. Namun, kedua-duanya bekerjasama dengan sejumlah bank tradisional dalam memperkenalkan perkhidmatan kewangan mereka.
Untuk Facebook pula, mereka melangkah setapak kehadapan, dan memfokuskan kepada pembangunan mata wang digital mereka tersendiri. Facebook sedia mengintegrasikan ciri Facebook Pay dibeberapa negara – tetapi dalam memudahkan lagi transaksi antara negara, Facebook bersama sejumlah organisasi lain menubuhkan badan khas untuk pembangunan mata wang digital.
Pada awalnya, mata wang digital ini dinamakan sebagai Libra. Namun, kini Libra dijenamakan semula sebagai Diem.
Salah satunya adalah kerana reaksi pasaran yang tidak begitu menyukai ketika Libra diperkenalkan – membawa kepada pelbagai reaksi negatif dan mungkin tidak membantu apabila pengguna mula melakukan carian berkenaan dengannya pada masa hadapan. Untuk mengatasinya, kini Libra dijenamakan sebagai Diem.
Menggunakan Diem, ia akan memudahkan proses pembayaran antara negara. Diem akan disandarkan kepada mata wang digital. Melalui contoh diberikan, 1 Diem akan disandarkan kepada 1USD.
Menggunakan mata wang digital ini, selain proses pembayaran antara negara, dan urusan jual-beli secara digital, ia juga akan memudahkan proses pemindahan wang antara pengguna, dan sebagainya – terutamanya pada era global masa kini.
Dengan sokongan Facebook, mata wang digital ini dijangka akan digunakan ramai. Apatah lagi dengan perkhidmatan sosial berkenaan digunakan lebih 2 bilion orang setiap bulan.
Facebook masih tidak berkongsi sebarang tarikh pengenalan untuk mata wang digital ini. Tetapi, mengikut desas-desus awal, mata wang digital Diem ini dijangka diperkenalkan pada awal 2021 kelak.