Krisis COVID-19 kini telah mendesak para pekerja untuk menuntut beberapa jaminan tertentu daripada majikan PKS.
Berdasarkan penglibatan lebih 500 responden pekerja PKS pada laporan Employment Hero bagi Trend Pekerjaan dan Pengambilan PKS 2021 Malaysia menunjukkan beberapa permintaan dilakukan oleh para pekerja berhubung situasi semasa.
Apa yang menariknya adalah, menerusi tinjauan ini tuntutan gaji bukanlah keutamaan para pekerja, namun faedah sokongan lain dilihat lebih penting.
Sekitar 31% pekerja mengharapkan diiktiraf dan dihargai oleh para majikan, bagaimanapun 69% lagi tidak mementingkan tuntutan tersebut.
Selain itu, berbeza dengan generasi X, generasi Z dan milenial yang berusia 25 tahun hingga 34 tahun – 51% mula memohon sokongan kesihatan mental daripada majikan mereka. Malah sekitar 49% pekerja menyokong cadangan itu perlu diutamakan.
Generasi X dan pekerja berusia 55 tahun ke atas pula lebih memilih keseimbangan pekerjaan menjadi lebih teratur dan tidak terbeban dengan tugasan tambahan.
- 58% pekerja mempertimbangkan sama ada ingin menukar pekerjaan pada 2021
- 87% mengharapkan sokongan yang lebih baik dapat diberikan oleh majikan
- 49% merasakan sokongan penting untuk mewujudkan keseimbangkan tugasan dan kehidupan
- 69% pekerja generasi Z dan milenial mengharapkan aturan tugasan yang lebih fleksibel
- 85% pekerja berusia 55 tahun dan ke atas menginginkan aturan pekerjaan yang lebih baik ketika pasca-COVID-19
Secara keseluruhan, 52% pekerja PKS menginginkan pengaturan tugas yang lebih baik dapat diperolehi, sementara itu 47% pula inginkan sokongan kewangan tambahan untuk meningkatkan keseimbangan tugasan harian mereka.
Ini kerana situasi pandemik telah mendorong para pekerja PKS untuk lebih berwaspada dan mempertimbangkan keperluan tertentu demi kepentingan mereka selaku pekerja.