Artikel

Petugas Pembersihan Seharusnya Diberi Bantuan RM300, Mengapa Hak Mereka Dinafikan?

Jika petugas barisan hadapan yang lain mampu perolehi bantuan dana, mengapa tidak petugas pembersihan?

Keluhan ini disuarakan Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (KPSHK) berikutan petugas pembersihan tidak memperolehi bantuan one-off daripada kerajaan.

Berdasarkan pemerhatian mereka, ini adalah kali kedua hak mereka dinafikan.

Sebelum ini, pada Mac bantuan khas sejumlah RM600 disalurkan kepada petugas barisan hadapan dan bantuan one-off RM300 tidak diberikan kepada petugas pembersihan.

Ini kerana pekerja pembersihan atau tukang cuci tidak diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.

Mengetahui kenyataan itu, pihaknya menegaskan tugasan dan cabaran petugas pembersihan tidaklah semudah yang disangka. Para pekerja terdedah dengan pelbagai risiko kontak langsung bersama dengan pesakit dan orang awam.

Seharusnya penghargaan diberikan kepada petugas pembersihan. Sejak pandemik ini berlaku, rata-rata petugas pembersihan mengalami peningkatan tugasan dan bersedia mendedahkan diri terhadap risiko persekitaran COVID-19.

Sekiranya tiada peranan petugas pembersihan, sudah pasti keadaan yang lebih meruncing akan terus berlaku. Maka tiada salahnya jika peranan dan fungsi mereka dihargai dengan penyaluran elaun khas setimpal dengan risiko yang dihadapi.